Kerajaan umum pulangan hasil GST Jumaat ini - Najib

Tan Su Lin
Oktober 21, 2015 06:16 MYT
Kerajaan akan mengumumkan pulangan hasil pelaksanaan GST dalam pembentangan Bajet 2016 Jumaat ini.
Kerajaan akan mengumumkan pulangan hasil pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam pembentangan Bajet 2016 Jumaat ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun pelaksanaan cukai itu bukan sesuatu yang popular namun ia terpaksa dilakukan demi kebaikan negara untuk mencapai bajet seimbang atau sekurang-kurang hampir seimbang pada tahun 2020.
''Tahun lepas kita laksanakan dua langkah sukar iaitu menghapuskan subsidi minyak bagi meningkatkan daya saing dan kedua memperkenalkan GST yang meningkatkan asas cukai secara signifikan,'' katanya ketika berucap dalam Forum Transformasi Global 2015 di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia keputusan politik yang sukar dan tidak popular namun ia langkah betul yang perlu dilakukan.
"Bukan semua orang suka dengan langkah ini. Namun tindakan itu perlu untuk kita meneruskan transformasi," katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu susun satu strategi untuk memastikan objektif dan hasrat negara kekal teguh serta mengekalkan wawasan jangka panjang untuk Malaysia dalam kekangan ekonomi global semasa.
Ujarnya, Malaysia perlu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana bagi meneruskan matlamat menjadi negara berendapatan tinggi pada 2020.
Namun, penurunan harga minyak dan komoditi, jangkaan peningkatan kadar faedah oleh Amerika Syarikat serta penyusutan nilai Yuan China, menyukarkan negara dagangan seperti Malaysia.
"Pelaburan semakin berkurangan, saingan untuk pelabur global semakin meningkat dan ekonomi kita dalam kedudukan bahaya terperangkap dalam kedudukan pendapatan sederhana. Perlu ada enjin pertumbuhan dan pencergasan," katanya.
##Bajet2016 #Bajet 2016 #cukai barang dan perkhidmatan #GST #harga minyak #Najib Razak #pembentangan bajet #subsidi