KUALA LUMPUR: Sebuah ladang solar baharu yang mula beroperasi 5 Ogos lalu bakal membawa Malaysia satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha mencapai sasaran menjana sekurang-kurangnya 20 peratus tenaga melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025.

Projek berkapasiti 100 megawatt (MW) yang terletak di daerah Kerian, Perak, itu dibangunkan Kerian Solar, sebuah syarikat tujuan khas hasil usaha sama antara TTL Energy Sdn Bhd dan Engie SA, sebuah firma dari Perancis.

Walaupun keadaan tanah yang mencabar dan kesan sekatan berkait COVID-19, Kerian Solar mencapai tarikh operasi komersial (COD) dalam tempoh 22 bulan selepas memulakan aktiviti pembinaan pada Oktober 2020. 

Menerusi satu kenyataan, Engie memaklumkan, projek itu dilaksanakan Ditrolic Energy sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Pengarah Urusan Boleh Diperbaharui Engie Australia dan Asia Tenggara, Thierry Kalfon berkata pentauliahan ladang solar pertama syarikat itu di Malaysia merupakan langkah penting ke arah pertumbuhan boleh diperbaharuinya di Asia Tenggara.

"Ini menyumbang kepada komitmen Engie untuk mencapai 50 gigawatt (GW) kapasiti sumber tenaga boleh diperbaharui (RES) terpasang di seluruh dunia menjelang 2025.

"Kami berterima kasih kepada rakan kongsi kami Ditrolic atas kerja cemerlang yang dijalankan bersama, yang memungkinkan kejayaan hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Projek Kerian Solar dianugerahkan di bawah pusingan ketiga tender solar berskala besar Malaysia (LSS3) pada 2019 oleh Suruhanjaya Tenaga.

Kajian awal bermula pada akhir 2018, dengan BNP Paribas Malaysia Bhd, MUFG Bank (Malaysia) Bhd dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Bhd bersetuju memberi pembiayaan hijau untuk projek itu.

Apabila mencapai COD, Kerian Solar memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menjual tenaga elektrik tanpa pelepasan karbon dioksida yang dijana oleh loji tenaga solar photovoltaic (PV).

Tenaga yang dihasilkan akan dihantar ke grid untuk menyokong sasaran kerajaan untuk menjana 20 peratus tenaga negara melalui cara boleh diperbaharui menjelang 2025.

Kerian Solar akan membekalkan lebih daripada 212-gigawatt jam (GWj) kuasa setahun, mengimbangi sekitar 139,000 tan karbon dioksida setiap tahun, bersamaan dengan menghapuskan pelepasan karbon tahunan 11,800 isi rumah Malaysia.