Malaysia yakin kerjasama rapatnya dengan Thailand akan membantu melonjakkan pembangunan dan pergerakan produk halal kedua-dua negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Menurutnya Malaysia mempunyai cita-cita tinggi untuk terus menerajui industri halal serta pengeksportannya dan yakin kerjasama itu meletakkan negara pada kedudukan terbaik.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada seminar "Potensi Industri Halal dan Peluang Untuk Usaha Sama antara Malaysia-Thailand" di sini, beliau berkata pada masa ini nilai eksport Malaysia ke Thailand sebanyak RM1.8 bilion, dan lima peratus daripadanya membabitkan barangan halal.

Seminar itu ialah kegiatan utama sempena misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke Thailand, anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Kami harap nilai eksport akan terus meningkat manakala peratusan produk halal yang dieksport juga terus berkembang," kata Mustapa yang mengetuai misi perdagangan selama dua hari itu.
Beliau berharap kerjasama antara syarikat Malaysia dan Thailand akan membantu mempercepat lonjakan pergerakan produk halal antara kedua-dua negara.

Mustapa menyifatkan misi perdagangan itu berjaya memandangkan terdapat syarikat-syarikat Thailand yang menunjukkan minat untuk menjalin usaha sama dengan syarikat Malaysia.

Beliau yakin jumlah kerjasama akan menjadi lebih besar memandangkan 250 syarikat Malaysia dan Thailand akan turut berbincang mengenai ruang kerjasama yang mungkin boleh dilakukan semasa misi dagang itu di sini.

Mustapa juga mencadangkan supaya ahli perniagaan di Malaysia dan Thailand membentuk persatuan yang khusus berkaitan industri halal di negara masing-masing.

Melalui persatuan itu, mereka akan lebih mudah berhubung, merancang dan melaksanakan kerjasama yang lebih cepat berkaitan industri halal.

Beliau berharap, persatuan itu diwujudkan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan industri halal bersemarak di kedua negara.

Pada masa ini, katanya Malaysia sedang meningkatkan infrastruktur pembangunan halal, termasuk mewujudkan Taman Halal Pasir Mas di Kelantan yang akan beroperasi tahun depan.

Mustapa berkata infrastruktur halal yang telah dan sedang dilaksanakan itu bukan sekadar membuktikan semangat Malaysia untuk mengungguli pembangunan produk halal, malah membuka ruang kepada para pelabur luar Malaysia untuk memanfaatkan kemudahan itu.

Sementara itu, lebih 400 ahli perniagaan Malaysia dan Thailand menyertai seminar sehari yang antara lain bertujuan mempromosikan infrastruktur halal di Malaysia serta mewujudkan jaringan sektor industri halal antara peniaga Malaysia dan Thailand.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Thailand Mr Boonsong Teriyapirom dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.