Masalah kewangan yang dihadapi Felda berpunca dari kegagalan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional suatu ketika dahulu, menurut Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan sebelum ini banyak memeterai projek mewah dan kontrak melambung (lavish and exaggerated contracts) yang menyebabkan Felda akhirnya terpaksa meminta bantuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasinya," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.


“Kerajaan sedang menimbang permohonan Felda untuk mendapatkan suntikan dana berjumlah RM6 bilion demi membela nasib lebih 120,000 peneroka Felda.”

Muhyiddin turut mengesahkan hasil daripada khidmat yang didapatkan daripada firma akauntan Ernst & Young untuk melaksanakan audit forensik dan firma guaman Lee Hishamuddin Allen & Gledhill telah mendapati Felda menjadi mangsa penipuan dan pelanggaran korporat.

“Selaras dengan penemuan audit forensik pada 8 April 2019, Ketua Pengarah Felda, Datuk Dr. Othman Omar telah membuat dua laporan polis berkenaan Eagle High Plantation Investment (EHP) dan KL Vertical City Project (KLVC) yang menunjukkan berlakunya salah laku jenayah sehingga menyebabkan Felda menanggung kerugian berbilion ringgit,” katanya.

“Datuk Seri Najib telah mengeluarkan kenyataan dengan tujuan untuk mengelirukan orang awam terutamanya orang Melayu dan peneroka Felda. Beliau mengatakan EHP adalah pelaburan strategik yang baik untuk FELDA dan negara," kata Muhyiddin.


Menurutnya, Felda telah membeli EHP dengan harga RM2.5 bilion dahulu tetapi sebenarnya ia cuma bernilai RM500 juta sekarang. Ini bermakna Felda mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion bersamaan dengan 300 peratus melebihi harga sebenar.

Beliau turut menegaskan kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mendedahkan para penyangak yang telah menyebabkan Felda menanggung kerugian dan membawa mereka ke muka pengadilan.

"Semua pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan atas perbuatan salah laku mereka.”