KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang tukang masak berhampiran sebuah warung, dua minggu lepas.
S. Gunasegaran, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim K. Pavani, yang kemudiannya menetapkan 27 April ini untuk jatuh hukum.
Advertisement
Gunasegaran yang tidak bekerja didakwa merompak Choo Teck San, 50, dan mencederakan mangsa berhampiran sebuah warung di Jalan Pudu di sini pada 10.30 malam, 12 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Iwanina Ibrahim tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain memohon supaya tarikh jatuh hukum ditetapkan, manakala Gunasegaran tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA