Kerugian pracukai Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2014 meningkat kepada RM572 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM370 juta suku sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan negara itu berkata pendapatannya merosot kepada RM3.38 bilion daripada RM3.90 bilion sebelum ini.

Syarikat itu berkata kesan insiden MH370 dan MH17 serta persaingan sengit berterusan menyebabkan penurunan faktor tempat duduk sebanyak 11.5 mata peratusan kepada 73 peratus.

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2014, kerugian pracukai melonjak kepada RM1.31 bilion daripada kerugian pracukai berjumlah RM815 bilion dalam tempoh sama setahun dahulu.

Pendapatannya menyusut kepada RM10.57 bilion daripada RM11.22 bilion sebelum ini.

MAS berkata ia terus mengalami kesukaran sekalipun pelbagai usaha dilaksana untuk mengurangkan bebanan kewangan dan kejatuhan harga minyak membantu mengekang kerugian.

"Sesetengah pasaran terutama China kekal menjadi cabaran untuk kembali ke paras sebelumnya.

"Bagaimanapun kami gembira dengan pemulihan di pasaran-pasaran lain seperti yang dicerminkan menerusi peningkatan penerimaan tempahan dalam seluruh sistem berbanding tahun sebelum ini," kata syarikat itu.