KUALA LUMPUR: Kerajaan semakin yakin bahawa objektif pemulihan ekonomi akan menyusul seiring dengan pemulihan kesihatan awam susulan peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai kepentingan vaksinasi awal.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu diperkukuhkan lagi dengan sambutan menggalakkan terhadap pendaftaran vaksin AstraZeneca pada 2 Mei lalu.

"Sambutan amat menggalakkan dengan sesi pendaftaran untuk 268,800 dos pertama vaksin AstraZeneca selesai dalam masa tiga setengah jam sahaja.

"Dengan peningkatan kesedaran di kalangan rakyat tentang kepentingan vaksinasi awal, kerajaan semakin yakin bahawa objektif pemulihan ekonomi akan menyusul seiring dengan pemulihan kesihatan awam," katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-52, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata rakyat negara ini diseru supaya segera mendaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)  bagi memastikan Malaysia berjaya mencapai imuniti kelompok menjelang Disember ini.

Tegasnya, kesemua vaksin sudah menjalani tapisan ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum penggunaannya diluluskan di Malaysia.

"Oleh itu, rakyat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang laporan atau khabar angin yang tidak jelas kesahihannya.

"Jika terdapat sebarang kemusykilan, rujuklah laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 Kebangsaan (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my," ujar beliau.

Selain itu Tengku Zafrul menambah kerajaan juga tidak mengambil mudah sebarang kemungkinan jika wujud kesan sampingan selepas pengambilan vaksin COVID-19.

Kerajaan menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jelasnya.

"Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 ini adalah langkah proaktif kerajaan menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan atau 'adverse effects' daripada penggunaan vaksin.

"Peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19," katanya.