BISNES
Keuntungan bersih Bursa Malaysia susut kepada RM57.06 juta akibat operasi yang rendah

Syarikat bursa saham itu mengumumkan bahawa pendapatan berada pada RM172.58 juta daripada RM199.94 juta. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd susut kepada RM57.06 juta menjelang suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding dengan RM80.45 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini disebabkan oleh hasil operasi yang lebih rendah.
Syarikat bursa saham itu mengumumkan bahawa pendapatan berada pada RM172.58 juta daripada RM199.94 juta.
"Pasaran sekuriti mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM85.3 juta pada suku kedua 2025, penurunan 24.4 peratus berbanding RM112.8 juta pada suku yang sama 2024 berikutan pendapatan operasi yang lebih rendah iaitu RM110.3 juta daripada RM141.4 juta yang disaksikan semasa suku kedua 2024," katanya.
Perbelanjaan dalam segmen pasaran sekuriti merosot 11.8 peratus kepada RM27.9 juta berbanding RM31.6 juta disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih rendah yang ditanggung pada suku kedua 2025.Bagaimanapun, pendapatan operasi pasaran derivatif meningkat 2.5 peratus kepada RM27.3 juta pada suku kedua 2025 berbanding dengan RM26.6 juta pada suku kedua 2024 susulan kontrak niaga hadapan minyak sawit yang lebih tinggi yang didagangkan pada suku tersebut.
"Perbelanjaan dalam segmen pasaran derivatif naik 6.0 peratus kepada RM16.7 juta pada suku kedua tahun ini berbanding RM15.7 juta yang dicatatkan pada suku kedua ekoran perbelanjaan pemasaran dan pembangunan yang lebih tinggi serta kerugian pertukaran asing pada suku kedua 2025," katanya.
Bursa Malaysia berkata pasaran Islam juga mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM2.1 juta pada suku kedua 2025, peningkatan 60.4 peratus daripada RM1.3 juta yang diperoleh semasa suku kedua 2024 disumbangkan oleh penambahan dalam hasil operasi,
"Hasil operasi pasaran Islam untuk suku kedua 2025 adalah RM5.5 juta, menokok 23 peratus berbanding RM4.5 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan segmen agak stabil pada kira-kira RM3.5 juta dalam kedua-dua suku yang sama bagi 2025 dan 2024," katanya.
Sementara itu, perniagaan data merekodkan keuntungan segmen berjumlah RM16.6 juta pada suku kedua 2025, lonjakan sebanyak 4.7 peratus daripada RM15.8 juta pada suku kedua 2024, dengan hasil operasi berada pada RM21.1 juta berbanding RM19.0 juta yang disaksikan semasa suku kedua 2024.
"Perbelanjaan dalam segmen perniagaan data meningkat sebanyak 37.8 peratus kepada RM4.6 juta pada suku kedua 2025 daripada RM3.3 juta pada suku kedua 2024 disebabkan oleh perbelanjaan langganan platform CSI yang ditanggung pada suku kedua tahun ini," katanya.
Selain itu, syarikat pegangan bursa itu mencatatkan kerugian segmen yang lebih tinggi sebanyak RM1.9 juta pada suku kedua berbanding dengan RM1.7 juta pada suku yang sama tahun sebelum ini susulan kelemahan dalam perolehan/faedah.
Untuk separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih Bursa Malaysia merosot kepada RM125.48 juta daripada RM155.48 Milllion, manakala pendapatan juga jatuh kepada RM356.96 juta berbanding RM387.14 yang dicatatkan sebelumnya.
Bursa ketika mengulas mengenai prospek memberitahu prestasi pasaran sekuriti terus dipengaruhi oleh faktor global dan domestik seperti rundingan perdagangan Amerika Syarikat yang sedang meluas, ketegangan yang semakin memuncak serta prestasi pendapatan korporat dan persekitaran kewangan global yang kurang bermaya.
"Disebalik semua cabaran luaran ini, prestasi pasaran sekuriti dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik serta peningkatan aktiviti pelaburan di sektor swasta dan awam," katanya.
"Bursa menjangkakan momentum tawaran awam permulaan (IPO) dapat dikekalkan pada separuh kedua 2025, dengan usaha yang disasarkan untuk membina aktiviti saluran IPO yang mampan.
"Bursa juga akan meningkatkan program jangkauannya bagi meluaskan penyertaan pelabur melalui inisiatif seperti MyBURSA," katanya.
Mengenai pasaran derivatif, ia berkata niaga hadapan MSM dijangka akan menurun dari tahap rekod yang dilihat pada 2025, dengan aktiviti perdagangan diunjur pada tahap permintaan yang lebih berhati-hati dan ketidakpastian pasaran yang berterusan.
Bursa itu turut akan komited dalam memperluaskan pelbagai prosuk patuh syariah sebagai sokongannya dalam membangunkan pasaran Islam.
"Urus niaga dalam Bursa Suq al-Sila '(BSAS) dijangka stabil, disokong oleh keterlibatan yang proaktif dengan peserta tempatan dan asing. Bursa juga akan meneruskan usaha pemasarannya bagi memperluaskan pangkalan pelabur di platform Bursa Gold Dinar," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed dalam satu kenyataan berasingan berkata bursa itu komited untuk memajukan Bursa Malaysia sebagai pertukaran pelbagai aset di bawah pelan strategik 2024-2026.
"Kawasan tumpuan utama kami termasuk platform pilihan penggalangan dana untuk perniagaan, meningkatkan daya tarikan pasaran dan kecairan serta meneroka kaedah baharu dalam mendorong perniagaan data," katanya.
Bursa Malaysia telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 14 sen sesaham untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025, berjumlah RM113.3 juta, bersamaan dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 90.3 peratus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami