KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd melonjak kepada RM1.08 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 daripada RM277.08 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil juga meningkat sebayak 20.9 peratus kepada RM4.67 bilion berbanding RM3.86 bilion sebelumnya disokong oleh pendapatan operasi kukuh dan peruntukan rendah, kata kumpulan perkhidmatan kewangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

CIMB rmencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.54 bilion pada separuh pertama 2021 yang termasuk sumbangan bersih ketara terutamanya daripada keuntungan penilaian semula sekali sebanyak RM1.16 bilion daripada pemisahan TNG Digital yang dilaporkan terlebih dahulu pada suku pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad dalam satu kenyataan berasingan berkata prestasi kukuh kumpulan itu mencerminkan kemajuan yang dicatatkan oleh pelan strategik Forward23+ dan momentum daripada pemulihan ekonomi yang dicatatkan pada suku pertama 2021.

Meskipun pengurangan sedikit pertumbuhan jualan kasar pada suku kedua 2021 berikutan lonjakan semula penularan pandemik COVID-19 di rantau ini, kumpulan itu mendapat manfaat daripada pemulihan pendapatan yang positif pada separuh pertama 2021 selepas mengambil kira kesan asas rendah setahun lalu, dipacu oleh peningkatan margin faedah, fokus kepada kos yang berterusan dan peruntukan rendah dalam kumpulan.

"Pada masa yang sama kami menyaksikan perniagaan digital kami terus meraih momentum. Pengguna berdaftar TNG Digital meningkat kepada 16.1 juta, menambah 600,000 pengguna pada suku kedua 2021 sahaja.

"GO+, penawaran pelaburan yang terdapat dalam aplikasi Touch 'n Go eWallet juga mencecah 1.2 juta pelabur dalam tempoh tiga bulan dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM112 juta setakat Jun 2021," katanya.

Menurut kenyataan itu, pinjaman kasar menguncup sedikit sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh persekitaran mencabar yang disebabkan pandemik serta pengubahsuaian perniagaan di pasaran utama terpilih apabila CIMB menyusun semula portfolionya sejajar dengan pelan strategik Forward23+.

Jumlah deposit naik sedikit sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun manakala akaun simpanan akaun semasa (CASA) terus berkembang kukuh sebanyak 8.7 peratus tahun ke tahun dengan nisbah CASA mencecah 41.6 peratus setakat Jun 2021.

Nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) kumpulan berada pada 87.8 peratus pada Jun 2021 daripada 88.9 peratus pada suku sebelumnya.

Pada masa hadapan, Abdul Rahman berkata meskipun bank itu mencatatkan prestasi kukuh, ia masih terus mengambil pendekatan berhati-hari disebabkan potensi risiko pertumbuhan perlahan pada separuh kedua.

Ini terutamanya disebabkan penularan varian COVID-19 Delta yang mencetuskan ketidakpastian berhubung pembukaan ekonomi serantau dan pemulihan ekonomi, katanya.

-- BERNAMA