KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 meningkat kepada RM346.91 juta daripada RM282.85 juta pada tahun kewangan 2022.

Perolehan menokok kepada RM3.45 bilion daripada RM3.00 bilion sebelum ini, didorong oleh perolehan lebih tinggi yang diraih oleh perniagaan takaful keluarga dan takaful am, kata penyedia insurans itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurutnya perolehan takaful naik 14 peratus kepada RM2.94 bilion daripada RM2.57 bilion pada tahun kewangan 2022, terutamanya berikutan pendapatan caruman yang lebih tinggi sebanyak RM205.7 juta, terutamanya daripada takaful am.

Ini turut disumbangkan oleh jumlah lebih tinggi yang dikenakan untuk perlindungan takaful dan fi wakalah bagi takaful keluarga dan takaful am sebanyak RM171.9 juta dan pelepasan margin perkhidmatan berkontrak yang tinggi sebanyak RM21.6 juta.

Takaful Malaysia berkata takaful keluarga meraih perolehan takaful sebanyak RM1.55 bilion pada tahun kewangan 2023, menokok tiga peratus berbanding RM1.50 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya berikutan perolehan takaful yang lebih tinggi bagi perkhidmatan takaful yang disediakan.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2023, keuntungan bersih meningkat kepada RM70.31 juta daripada RM67.12 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022 manakala perolehan menokok kepada RM1.12 bilion daripada RM1.07 bilion sebelumnya.

Menurut kumpulan itu, ia akan terus mengembangkan perniagaannya menerusi kaedah yang mampan dan mesra alam serta telah melaksanakan komitmen terhadap inisiatif industri takaful mengenai pengantaraan berasaskan nilai ke arah membina ekosistem kewangan mampan.

"Oleh itu, kami telah menerapkan pendekatan bersepadu dan antara bidang untuk menguruskan kemampanan, memfokuskan kepada empat bidang utama, iaitu produk dan perkhidmatan, proses perniagaan dan budaya, pelaburan, sosial dan komuniti, untuk menjana impak mampan terhadap ekonomi, komuniti dan alam sekitar," katanya.

Takaful Malaysia telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14 sen sesaham biasa berkenaan tahun kewangan 2023, yang dibayar pada 2 Feb 2024.

-- BERNAMA