KUALA LUMPUR: Sektor kewangan Islam perlu membuka inovasi yang memberi kesan besar untuk transformasi ekonomi dan kemampanan serta menggandakan kewangan berasaskan nilai bagi melahirkan impak yang lebih ketara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata ia juga adalah gesaan untuk bertindak kepada komuniti kewangan bagi bertanggungjawab dengan kepimpinan yang lebih baik dalam memangkin pertumbuhan mampan untuk negara.

"Ruang untuk inovasi dalam kewangan Islam adalah luas, namun, sehingga hari ini, potensi penuh kewangan Islam masih belum dioptimumkan sepenuhnya sebagai alat untuk perubahan yang bermakna bagi memenuhi keperluan kewangan dunia.

"Kita mempunyai pelbagai kontrak dan instrumen syariah yang boleh disesuaikan dengan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat yang berbeza," kata gabenor bank pusat itu dalam ucaptama di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2023 di sini pada Selasa.

Dalam kewangan Islam, beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk "mengadunkan kewangan" menggunakan bentuk modal yang berbeza seperti modal bersifat dermawan dan risiko, sekali gus mengembangkan peranan pengantaraannya melangkaui peruntukan kredit dan pemindahan risiko.

"Melihat kepada keperluan ekonomi dan kewangan pada hari ini dan masa hadapan, pembiayaan, pelaburan dan keperluan perlindungan risiko bagi perniagaan dan masyarakat hari ini adalah lebih pelbagai dan kompleks.

"Terdapat peluang yang signifikan untuk kewangan Islam menunjukkan peranan dan impak pemangkinnya dengan menggunakan sepenuhnya peralatan yang tersedia bagi inovasi kewangan dalam menangani keperluan negara yang semakin berkembang merangkumi instrumen seperti sukuk, pembiayaan bersindiket dan kewangan secara teradun pada skala yang lebih besar," tambahnya.

Abdul Rasheed berkata satu lagi bidang utama untuk inovasi ialah kewangan sosial, yang boleh dimanfaatkan untuk mengeluarkan kumpulan yang terdedah daripada kemiskinan dan perangkap pendapatan rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak industri mesti kekal teguh dan berusaha ke hadapan untuk melaksanakan perubahan yang positif dan berkekalan dan "perubahan signifikan dalam komitmen pihak atasan untuk lebih terbuka, telus dan beretika" adalah amat penting bagi mewujudkan kesan domino terhadap tindakan positif yang meresap ke seluruh sektor, daripada niat dalam nilai korporat kepada strategi dan operasi perniagaan, tingkah laku perniagaan, pengukuran prestasi dan pelaporan impak.

"Perubahan holistik ini mesti dipacu dari dalam bilik lembaga pengarah dengan kesannya menyeluruh ke barisan hadapan supaya kesan positif dirasai oleh pelanggan dan pemegang kepentingan," sambung beliau lagi.

Gabenor bank pusat itu juga melahirkan harapan bahawa Pelan Hala Tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang dikeluarkan tahun lepas akan berguna dalam membimbing pengendali takaful melaksanakan perubahan kepada perniagaan dan strategi operasi, memperkenalkan lebih banyak penyelesaian berasaskan nilai dan mengukuhkan kapasiti bagi memberikan impak positif kepada manusia, planet dan alam sekitar.

-- BERNAMA