Skip to main content

Bisnes

Keyakinan awam penentu kejayaan PETROS - Penganalisis

Petros, Samirul
Samirul berkata PETROS kini memegang peranan semakin strategik dalam landskap tenaga Sarawak sebagai pengagregat gas negeri. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Aspirasi Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam mengurus sumber petroleum sendiri adalah sesuatu yang wajar.

Menurut penganalisis geopolitik, perniagaan dan ekonomi, Samirul Ariff Othman, selama lebih lima dekad hasil petroleum Sarawak telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara, justeru adalah munasabah untuk rakyat negeri itu mengharapkan kekayaan tersebut diterjemahkan kepada lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata PETROS diwujudkan sebagai institusi yang membawa aspirasi tersebut perlu disertai dengan ketelusan dan akauntabiliti kerana keyakinan rakyat bukan sekadar dibina melalui pemilikan aset strategik, sebaliknya melalui prestasi yang boleh dibuktikan.

"Sesebuah syarikat tenaga nasional akhirnya tidak dinilai berdasarkan bendera yang diwakilinya, tetapi berdasarkan apa yang berjaya disampaikannya, keupayaan yang dibangunkan serta tahap keterbukaannya kepada orang ramai.

“Legitimasi akan menjadi lebih kukuh apabila disokong oleh akauntabiliti,” katanya.

Samirul turut menumpukan perhatian kepada projek mercu tanda PETROS iaitu pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (Combined Cycle Gas Turbine) bernilai RM2.5 bilion berkapasiti 500 megawatt di Miri.

Menurutnya, pelantikan syarikat antarabangsa seperti POWERCHINA bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) serta Mitsubishi Power dari Jepun untuk membekalkan teknologi turbin dan penyelenggaraan jangka panjang adalah amalan biasa bagi pemaju yang masih baharu.

 

Image
Petros, Samirul
Menerusi analisisnya, Samirul menegaskan kejayaan jangka panjang PETROS bukan sekadar diukur melalui projek atau aset yang dimiliki, sebaliknya sejauh mana institusi itu mampu membina kepercayaan rakyat melalui tadbir urus yang telus, pembangunan keupayaan tempatan dan manfaat yang dapat dirasai oleh masyarakat. - Foto Fail

 

Namun katanya, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana projek tersebut berjaya membangunkan keupayaan tempatan menerusi pemindahan ilmu kejuruteraan, pembangunan vendor, penguasaan teknologi dan penyertaan syarikat tempatan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi Sarawak.

Beliau mengambil contoh Norway yang mewajibkan syarikat tenaga antarabangsa membangunkan pembekal tempatan dan kepakaran kejuruteraan sebagai syarat beroperasi, manakala Malaysia turut melaksanakan pendekatan sama menerusi Program Pembangunan Vendor (VDP) PETRONAS yang memperkukuh rantaian bekalan tempatan sejak lebih tiga dekad lalu.

Namun sehingga kini, katanya, PETROS belum mendedahkan secara terbuka syarat kandungan tempatan (local content), pecahan perolehan, penglibatan vendor mahupun program pembangunan vendor bagi projek Miri.

"Maklumat sedemikian akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai serta menunjukkan bagaimana pelaburan besar ini benar-benar menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri Sarawak, bukan sekadar menyiapkan sebuah loji janakuasa”, jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa projek itu dijangka hanya mula menjana hasil komersial menjelang penghujung 2027, sekali gus menunjukkan PETROS masih berada pada peringkat awal pembangunan institusinya dan menjadikan keperluan terhadap ketelusan lebih penting.

Dalam masa sama, Samirul berkata PETROS kini memegang peranan semakin strategik dalam landskap tenaga Sarawak sebagai pengagregat gas negeri.

Sehubungan itu, institusi yang mengurus sumber strategik awam perlu memenuhi standard tadbir urus yang lebih tinggi melalui pendedahan maklumat yang lebih menyeluruh.

Walaupun PETROS telah menerbitkan Laporan Kelestarian 2022–2023, beliau berkata beberapa maklumat penting seperti penyata kewangan tahunan, pembayaran dividen, statistik perolehan, bilangan pekerja Sarawak dan laporan kandungan tempatan masih belum didedahkan secara berkala kepada umum.

Beliau turut membangkitkan pelan perbelanjaan modal PETROS bernilai RM40 bilion bagi tempoh lima tahun yang diumumkan pada Oktober 2024 serta mencadangkan perkembangan pelaksanaannya dikemas kini secara berkala.

Selain itu, beliau berpendapat penjelasan lanjut berkaitan inisiatif gas percuma kepada isi rumah B40 juga mampu mengelakkan kekeliruan.

"Penjelasan yang lebih jelas mampu mengelakkan kekeliruan serta mengukuhkan keyakinan masyarakat,” ujarnya lagi.

Menurut Samirul, langkah memperkukuh ketelusan bukan sahaja mampu mengurangkan spekulasi, malah meningkatkan kredibiliti institusi serta memperkukuh kepercayaan rakyat.

Beliau menambah syarikat tenaga utama dunia seperti PETRONAS dan Equinor dari Norway telah lama menjadikan laporan kewangan, laporan kelestarian dan ketelusan perolehan sebagai amalan standard tadbir urus korporat.

Mengulas lanjut, Samirul berkata ukuran sebenar kejayaan sesebuah syarikat tenaga nasional bukan sekadar bergantung kepada jumlah aset atau projek yang dimiliki, tetapi pada peluang yang diwujudkan kepada rakyat melalui pekerjaan, pembangunan vendor, biasiswa, pendidikan dan pelaburan komuniti.

Walaupun mengakui PETROS masih jauh lebih muda berbanding PETRONAS, Samirul menegaskan perbandingan antara kedua-duanya perlu dibuat secara adil kerana PETRONAS telah berkembang hampir lima dekad di peringkat global, manakala PETROS masih di fasa awal pembangunan institusinya.

Menurut beliau, persoalan utama ialah sama ada PETROS mempunyai sasaran yang jelas, penanda aras yang boleh diukur dan pelan hala tuju yang telus untuk terus berkembang.

Mengakhiri analisisnya, Samirul berkata perbahasan mengenai PETROS tidak seharusnya dilihat sebagai penolakan terhadap aspirasi Sarawak, sebaliknya peluang untuk memperkukuh institusi tersebut melalui keterbukaan yang lebih besar.

"Ketelusan bukanlah satu beban pentadbiran. Ia adalah asas kepada legitimasi institusi, keyakinan awam dan pembangunan ekonomi yang mampan. Semakin besar kawalan terhadap sumber awam, semakin besar juga keperluan untuk bersikap terbuka,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement