GEORGE TOWN: Kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) untuk mengadakan lelongan semula tanah seluas kira-kira 2.43 hektar di Jalan Peter Paul Dason berhampiran Persiaran Gurney di sini yang gagal mendapat pembida sebelum ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata. lelongan pertama pada September lepas diadakan atas permintaan syarikat tersebut ketika itu yang memerlukan aliran tunai bagi membiayai baki kerja pembinaan Projek Lebuhraya Pakej 2, iaitu Jalan Pintasan dari Bandar Baru Ayer Itam (Farlim) ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
“Ketika ini, kerajaan negeri tidak menerima permintaan baharu daripada CZC bagi membantu mengadakan lelongan semula sebab kini mereka tidak mengalami kekangan aliran tunai dan mampu menghabiskan baki kerja yang telah capai lebih 95 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) mengenai kegagalan penjualan tanah tersebut menerusi tender terbuka dan adakah pembidaan semula akan dilaksanakan kelak.
Chow berkata, hebahan mengenai lelongan awam sebelum ini telah disiarkan dalam akhbar, laman sesawang rasmi Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang serta Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) selain dibuat kepada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada 7 Sept lepas.
Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan pembida bergantung kepada minat dan kesediaan pihak yang memenuhi syarat lelongan dan tidak dapat ditentukan atau dijamin terlebih dahulu oleh pentadbir tanah walaupun hebahan telah dilaksanakan secara meluas.
Bagi tindakan selanjutnya, beliau berkata, hala tuju urusan tanah tersebut adalah tertakluk kepada keputusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN), justeru penyelarasan tindakan susulan akan dilaksanakan oleh PDTTL berdasarkan keputusan dan arahan yang ditetapkan oleh PBN kelak.
Chow berkata, lelongan awam tanah berkenaan ditetapkan pada harga rizab sebanyak RM313.632 juta.
“Melalui kaedah pembiayaan pertukaran tanah, hasil lelongan tersebut dijangka dapat membantu memenuhi tuntutan nilai tanah bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh pihak CZC, di samping menjana lebihan hasil untuk diagihkan antara kerajaan negeri dengan CZC berdasarkan ketetapan yang dipersetujui.
"Bagaimanapun, jumlah hasil sebenar yang bakal diperoleh adalah tertakluk kepada harga jualan yang berjaya dicapai sekiranya lelongan semula dilaksanakan dan mendapat kelulusan PBN,” katanya.
-- BERNAMA