Pertumbuhan masa depan DRB-HICOM Bhd (DRB)dijangka disumbangkan oleh Kuala Lumpur Airport Services (KLAS), anak syarikat milik penuh HICOM Holdings, dan seterusnya DRB, kata HwangDBS Vickers Research.

Skop perniagaan utama KLAS termasuk pengendalian darat, perkhidmatan logistik bersepadu (ILS), pengendalian kargo, penyelenggaraan kemudahan peralatan, katering dalam penerbangan, penyelenggaraan pesawat dan kejuruteraan.

"Walaupun sumbangan perolehan kumpulan DRB dan keuntungan sebelum cukai tidak ketara, iaitu dua peratus bagi tahun kewangan 2012, kami yakin perniagaan ini berpotensi besar.

"Ini terutamanya pembukaan KLIA2, sinergi dengan DRB (sebahagian besarnya untuk Proton dan Pos Malaysia) serta potensi syarikat penerbangan baharu," kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Ia berkata bagi 2012, KLAS merekodkan perolehan sebanyak RM171 juta dan RM22 juta keuntungan sebelum cukai berbanding perolehan dan keuntungan sebelum cukai, masing-masing sebanyak RM148 juta dan RM21 juta pada 2011.

KLAS beroperasi di enam lapangan terbang dalam negara iaitu Langkawi, Pulau Pinang, Subang, Kota Kinabalu, Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia mempunyai 46 pelanggan dan mengendalikan 23,199 penerbangan dan 1.8 juta hidangan pada 2011.
HwangDBS mengekalkan saranan "beli" ke atas DRB pada harga sasaran RM3.60.