KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu menunggu hingga sampai ke tahap ‘sempurna’, seperti mana yang dicapai England pada abad ke-19 sebelum memulakan proses ‘takeoff’, satu terma ekonomi bagi menggambarkan perubahan radikal terhadap sumbernya untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pakar ekonomi terkemuka dunia, Profesor Stefan Dercon berkata, berdasarkan pemerhatiannya terhadap negara yang dianggap mempunyai tahap kemampanan ekonomi yang baik seperti China, Indonesia dan Bangladesh, negara-negara tersebut mampu membangun dalam suasana yang tidak sempurna.

Sewaktu berucap di Khazanah Megatrends Forum di ibu negara pada Isnin, Dercon berkata, pemerhatian beliau sebagai seorang penganalisis mendapati, demokrasi juga bukan sistem yang paling sempurna, kerana terdapat negara-negara autokrasi yang turut mencapai pertumbuhan seperti mana negara-negara lain.

“Namun terdapat satu perbezaan, iaitu pemboleh ubah dalam negara autokrasi lebih meluas, atau saya cuba katakan begini, salah satu negara yang mempunyai prestasi terbaik adalah negara autokrasi, tetapi salah satu yang terburuk juga negara autokrasi seperti Republik Kongo.

“Jadi sesuatu yang kita boleh katakan di sini, ia tidak semestinya berkaitan dengan pertumbuhan purata, tetapi sesuatu mengenai hamparan atau sebaran ekonomi. Ia adalah sesuatu mengenai konsep tersebut.

“Tetapi sekali lagi saya menegaskan, anda tidak perlu menunggu kesempurnaan, atau model politik yang sempit, sebagai salah satu cara untuk mencapai kejayaan. Tetapi ia perlu mempunyai kepelbagaian dari mana ia datang, dan ini boleh terus berkembang,” katanya lagi.

Dercon merupakan profesor polisi ekonomi di Blavatnik School of Government and Economics Department di University Oxford, dan juga Pengarah di Centre for the Study of African Economies, selain pernah menulis beberapa buku termasuk yang terbaharu – ‘Gambling on Development: Why some countries win and other lose’.

Dalam pada itu Dercon menegaskan, tiada insentif pelaburan yang berkesan sepenuhnya dalam kestabilan makroekonomi keseluruhan, sebaliknya kerajaan harus berpegang kepada polisi berorientasikan luaran.

“Anda perlu berorientasikan keluar dengan secukupnya, anda tahu, mengambil beberapa situasi di dunia memberikan anda pengetahuan, berorientasikan luaran dan cuba bersaing dengannya. Dan kemudian anda perlu melakukan perkara yang wajar dalam infrastruktur kesihatan dan pendidikan.

“Persoalannya mengapa sesetengah negara memilih dasar yang tidak munasabah daripada set dasar munasabah yang luas, atau mengapa kadang-kadang sangat sukar untuk benar-benar membuat pembetulan, untuk menjadikannya lebih munasabah apabila ia dilihat tidak wajar?” soalnya kembali.