KUALA LUMPUR: Ringgit rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi urus niaga awal pada Isnin ketika unit negara maju itu dilihat sebagai selamat dan mengukuh, di tengah-tengah perkembangan terkini membabitkan konflik Timur Tengah, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut ke paras 4.7715/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7680/7730 pada akhir Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing dijangka terus gelisah diasak perkembangan berkaitan serangan balas Iran ke atas Israel.

Tindak balas Teheran itu adalah susulan terhadap serangan maut rejim Zionis itu ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik.

 “Persoalan utamanya adalah sama ada akan ada serangan balas daripada Israel serta sekutu-sekutunya. Malah, berdasarkan tahap ketidaktentuan yang ketara ini, pasaran dijangka kekal bertahan dengan menumpukan mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata permintaan terhadap pendapatan tetap juga dijangka meningkat apabila pelabur lebih mengutamakan aset selamat bebas risiko berikutan ketidaktentuan di pasaran.

Pada masa sama, data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan pada minggu lepas serta ulasan pegawai Rizab Persekutuan AS yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah, akan menjadi sokongan baik untuk mata wang negara maju berkenaan.

“Berikutan itu, perbandingan ringgit dan dolar AS dijangka kekal lemah sekitar 4.76-4.77 pada hari ini," katanya. 

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memantau rapat perkembangan konflik di Timur Tengah dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak atau impaknya ke atas Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0797/0867 daripada 5.0808/0861 pada penutupan Jumaat, meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.1089/1133 daripada 3.1098/1133 Jumaat lepas, dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9410/9491 daripada 5.9562/9624 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, termasuk meningkat berbanding baht Thailand pada 12.9907/13.0127 daripada 13.0831/13.1036 sebelum ini dan naik berbanding dolar Singapura pada 3.5046/5096 daripada 3.5090/5129.

Unit tempatan itu bagaimanapun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.6 daripada 300.8/301.3 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.43/8.45 daripada 8.43/8.44, sebelum ini.

-- BERNAMA