KUALA LUMPUR: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 7.5 peratus bersamaan RM3.9 Juta kepada 235,645 anggotanya.

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, pembayaran dividen itu adalah berdasarkan modal syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di mana dividen bersih yang diterima oleh setiap anggota selepas ditolak pembayaran zakat.

Jelasnya, pengumuman jumlah dividen itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koop Sahabat kali kelapan yang julung kali diadakan secara atas talian bersama lebih 111 perwakilan di seluruh negara yang dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Jaafar Ahmad.

"Koop Sahabat masih konsisten memberikan pulangan tinggi kepada anggotanya biarpun momentum perniagaan Koop Sahabat terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu.

"Kita masih mencatatkan keuntungan walaupun berlaku kenaikan pada kos serta mempunyai pendapatan yang kukuh menerusi aktiviti perniagaan Sahabat Ar-Rahnu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu kata Mohd Najib, peningkatan jumlah aset milik Koop Sahabat juga meningkat pada kadar 1.93 peratus kepada RM740 juta pada 2020 berbanding RM 726 juta pada 2019.

Peningkatan itu hasil daripada beberapa peningkatan aktiviti utama seperti perkhidmatan kewangan dan Hartanah.

"Koop Sahabat pertama kalinya turut mengeluarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan memandangkan 99 peratus daripada ahlinya adalah wanita.

"Kita meneliti pelaburan mampu memberikan kesan faedah tinggi seperti bidang hartanah selain perkhidmatan perladangan yang turut menunjukkan peningkatan harga sawit.

"Kita turut melancarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan bahkan sedang membimbing ejen dan stokis terdiri daripada Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," ujarnya

Selain itu jelasnya, Koop Sahabat turut menjalankan pelaburan dalam beberapa syarikat awam yang memberikan pulangan pasti kerana enggan mengambil risiko pelaburan anggota.

Katanya lagi, keupayaan konsisten dalam membayar dividen pada kadar tinggi, membuktikan Koop Sahabat mengutamakan anggotanya sekaligus memberikan pulangan setimpal dari pelabur dalam kalangan usahawan B40.

"Koop Sahabat turut  menyalurkan hampir RM2 juta peruntukan bagi memberi keperluan bantuan kepada anggota dan bukan anggota menerusi tabung kebajikan, agihan wakalah zakat serta dana sumbangan lain sehingga Ogos 2021," katanya.

Menurutnya lagi, pencapaian terkini turut memperlihatkan Koop Sahabat membuka dua lagi cawangan baharu Sahabat Ar-Rahnu terletak di Bertam, Pulau Pinang dan Pendang, Kedah.

Tambah beliau lagi, menerusi Pelan Strategik 2020- 2024 (PSKS20-24) yang dinamik, kedudukan koperasi dapat diperkukuhkan selain meningkatkan daya saing serta tahan bagi memperkasakan pertumbuhan sosio ekonomi anggota.

Kata Mohd Najib, pencapaian Koop Sahabat tidak hanya menumpukan pada pencapaian agihan dividen tetapi dilihat dari sudut konteks lebih luas termasuk tadbir urus yang baik.

"Koop Sahabat mendapat tempat ke empat bagi Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi 2020 daripada 14,000 koperasi seluruh negara dan harap dapat meningkat kepada tiga terbaik bagi 2021," katanya.