GV Ride raikan komuniti dengan Santa Claus, kejutan Krismas unik

Kabeer Maand (kiri) berkata, inisiatif ini bukan sekadar membawa kegembiraan kepada pelanggan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara pemandu dan komuniti.- Gambar GVRide
SUBANG JAYA: GV Ride memperkenalkan kejutan unik sempena sambutan Krismas menerusi inisiatif One-Day-Only Surprise di sekitar Subang Jaya, hari ini.
Tiga pemandu terpilih tampil dengan kelainan apabila mereka menyarung kostum penuh Santa Claus sepanjang operasi, menceriakan para pengguna aplikasi berkenaan.
Sebanyak 40 penumpang bertuah, empat bagi setiap pemandu terpilih menerima hadiah krismas istimewa beserta kad ucapan sebagai tanda penghargaan GV Ride kepada komuniti pengguna yang terus menyokong perkhidmatan e-hailing tempatan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, inisiatif ini bukan sekadar membawa kegembiraan kepada pelanggan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara pemandu dan komuniti.
“Musim perayaan adalah waktu terbaik untuk menyebarkan kegembiraan. Kami mahu pengguna merasai pengalaman yang lebih mesra, lebih peribadi, dan penuh kejutan.
"Inilah cara GV Ride menghargai setiap pelanggan yang memilih kami setiap hari,” katanya.
Kabeer berkata, diskaun tambang RM10 turut ditawarkan kepada pengguna GV Ride, terhad kepada satu perjalanan sehari bagi setiap individu.
Menurut beliau, GV Ride akan terus memperkenalkan aktiviti berbentuk komuniti sebagai usaha menjadikan platform itu lebih dekat di hati rakyat.
“Kami bukan sekadar menyediakan perkhidmatan e-hailing, tetapi mahu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.
"Lebih banyak program unik dan mesra komuniti akan kami bawa pada tahun hadapan,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


