PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin peranan yang boleh dimainkan oleh Koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi lebih besar dalam sistem dan juga rantaian pasaran perniagaan yang ada ketika ini.

Jelasnya sekiranya kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat, termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.

Menurut Perdana Menteri lagi perolehan tahunan sektor koperasi kini mencecah RM41.47 bilion dan memiliki ahli berjumlah 7.4 juta.

Jelasnya, ia sesuatu yang cukup membanggakan dan kerajaan juga mengiktiraf peranan koperasi dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau juga percaya peranan koperasi juga mampu menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan selain sistem rantaian bekalan barangan.

"Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, Kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Malah, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu," katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Coop Mart Dan Perasmian Coop Community Mart di sini pagi tadi.

Coop Mart (CCM) merupakan inisiatif yang dibangunkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk membangunkan kedai koperasi (Coopmart) di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak Oktober tahun lalu.

Bagi menggalakkan penubuhan CCM, bantuan infrastruktur dan modal pusingan RM130,000 disediakan oleh SKM manakala RM50,000 oleh KWP kepada koperasi terpilih.

Ia selaras dengan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025 yang dilancarkan sebelum ini.

Tambahnya lagi sehingga Disember 2021, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta.

Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan bantuan CCM sebanyak RM180,000 kepada Koperasi Pudina Putrajaya Berhad dan Koperasi Hiliran Ampang Berhad.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400,000 serta bantuan Mapping of Supply Chain (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi COVID-19 KUSKOP berjumlah RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad.