KPDN giat perkasa kempen KBBM, lonjak produk tempatan

Armizan ketika di sidang media sempena pelancaran Karnival TikTok Shop 11.11 Jualan Mega di Pavilion Bukit Jalil, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus menggerakkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha memartabatkan produk tempatan.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus menggerakkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha memartabatkan produk tempatan.
- Kempen ini digerakkan dengan tiga objektif utama iaitu merangsang ekonomi domestik, menonjolkan kualiti produk tempatan, serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pengguna untuk menyokong barangan buatan Malaysia.
- Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, kementeriannya telah merintis kerjasama strategik bersama platform e-dagang utama bagi memperluaskan promosi dan pasaran produk Malaysia.
“Ia merupakan sebahagian daripada usaha kita menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya patriotisme ekonomi.
“Kalau kita lihat nilai dan makna kepada Kempen Beli Barangan Malaysia ini, ia berkisar kepada usaha membangunkan ekonomi negara serta memperkukuh keusahawanan tempatan, terutama PMKS,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Karnival TikTok Shop 11.11 Jualan Mega di Pavilion Bukit Jalil, di sini.
Sepanjang 2024, pelaksanaan KBBM bersama rakan strategik e-dagang berjaya menjana hasil jualan produk tempatan berjumlah RM1.99 bilion, melibatkan 1.64 juta unit produk (SKU).
Antara rakan strategik utama adalah TikTok Shop Malaysia, yang mewujudkan halaman promosi khas (microsite) bagi mengiklankan dan mempromosikan produk buatan Malaysia dalam talian.
Bersempena dengan Karnival TikTok Shop 11.11 Jualan Mega 2025, Armizan berkata kempen bertemakan #JomBeliLokal itu merupakan sebahagian daripada strategi memperkukuh keberadaan produk Malaysia dalam pasaran digital.
“Dengan adanya usaha penekanan tentang pembelian barangan tempatan, ia membantu perkembangan dan pembangunan dalam seluruh rantaian bekalan, ekosistem dan rantaian bekalan yang ada dalam negara kita,” ujarnya.
Karnival berbentuk shoppertainment itu berlangsung selama tiga hari, dari 7 hingga 9 November 2025 di Pavilion Bukit Jalil, menampilkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pempengaruh tempatan serta pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan hiburan, sesi meet & greet, dan online live show daripada peniaga TikTok Shop.
Sepanjang kempen 11 hari bermula 1 hingga 11 November 2025, pengguna boleh menikmati pelbagai tawaran termasuk penghantaran percuma tanpa had, baucar berganda sehingga 30%, beli satu percuma satu, serta diskaun khas barangan keperluan.
Selain memperkasa promosi digital, KPDN melalui agensinya MyIPO turut bekerjasama dengan TikTok dalam mempertingkat kesedaran serta perlindungan harta intelek di Malaysia.
Kerjasama ini menumpukan kepada usaha advokasi, pendidikan dan penguatkuasaan bagi melindungi hak harta intelek dalam persekitaran e-dagang yang kian berkembang pesat.
Program seperti ini juga mengangkat misi KPDN dalam memastikan produk Malaysia bukan sahaja diterima di pasaran tempatan tetapi turut berdaya saing di peringkat global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


