KUALA LUMPUR: Kumpulan Maybank mengumumkan beberapa pelantikan dalam barisan pengurusan tertingginya yang bertujuan memacu pertumbuhan dan membuka sepenuhnya potensi perbankan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) semasa bagi Kumpulan Perbankan Global Datuk Muzaffar Hisham akan menggantikan Datuk Mohamed Rafique Merican sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, berkuat kuasa 1 Mac, 2024.

"Beliau akan bertanggungjawab untuk menyampaikan skala dan kehadiran menyeluruh perbankan Islam dalam kumpulan, menerajui cita-cita kepimpinan global kumpulan dalam pengurusan kekayaan Islam, dan merintis penyelesaian digital yang inovatif untuk kumpulan," katanya.

Bank itu berkata pelantikan kedua ialah Datuk John Chong, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS), yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global, mengambil alih tempat Muzaffar, berkuat kuasa 1 Mac, 2024.

"Beliau akan memperkukuh penyampaian cadangan perbankan borong serantau dengan penekanan yang lebih kepada memperdalam liputan dan hubungan kami merentasi segmen berbeza dan penyelesaian sektor yang direka khas," kata bank itu.

Pelantikan ketiga ialah Tuan Syed Ahmad Taufik Albar yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CFS yang baharu, berkuat kuasa 1 Mac, 2024.

"Tanggungjawab utama beliau ialah memacu formulasi dan melaksanakan strategi perniagaan untuk CFS kumpulan," katanya.

Selain itu, bank berkenaan berkata Steffano Ridwan, yang kini Pengarah CFS di PT Bank Maybank Indonesia Tbk (MBI), telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Pengarah Presiden MBI, berkuat kuasa 1 April, 2024.

Beliau akan menggantikan Taswin Zakaria yang akan menamatkan penggalnya sebagai Pengarah Presiden pada 31 Mac, 2024.

"Steffano akan bertanggungjawab untuk memperkukuh usaha pendigitalan dan transformasi bagi meningkatkan MBI melalui pembangunan penyelesaian yang mengutamakan pelanggan dan keupayaan digital baharu untuk menyokong pertumbuhan perusahaan runcit dan sederhana kecil.

"Beliau juga akan terus membina francais perbankan global dan perniagaan perbankan syariah, khususnya dalam pengurusan kekayaan," tambahnya.

-- BERNAMA