Kekurangan maklumat menjadi punca hanya separuh rakyat negara ini bersedia untuk menerima pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Eksekutif Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (TAMS), Yong Poh Chye berkata, ia dapat diatasi dengan penglibatan kerajaan dan badan-badan pengguna serta media dalam menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai faedah-faedah GST kepada negara dan rakyat.

"Kerajaan dilihat tidak mungkin menaikkan kadar GST dalam jangka masa terdekat. Antara kesan-kesan GST ialah penurunan harga kereta tetapi tambang penerbangan domestik dan harga harta komersial akan meningkat, meskipun tambang penerbangan antarabangsa dan harga kediaman tidak tertakluk kepada cukai baharu ini.

"Keputusan untuk mengenakan GST ke atas petrol pula dilihat akan dibuat kerajaan tidak lama lagi." katanya.

Poh Chye berkata demikian pada sidang media mengenai Persidangan GST Kebangsaan 2014.

Persidangan yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Julai ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan TAMS.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong menggesa peserta industri untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan keupayaan untuk mematuhi pelaksanaan GST.

Ujarnya, walaupun kerajaan disifatkan mahu menjadi lebih cekap dalam pungutan cukai, ia tidak bermakna segala-galanya akan menjadi lebih mahal.

"Sebenarnya kerajaan telah mengkaji di mana ia harus mengurangkan cukai dan di mana harus menaikkannya, atau di mana pungutan tidak mencukupi.

"Pelaksanaan GST menjadikan industri dan perniagaan kita lebih cekap dengan amalan perakaunan yang jelas, untuk berurusan dengan rakan niaga dari luar negara," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata fasa kedua penjelasan dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat tentang GST akan melibatkan 134 kawasan parlimen.

Jelasnya, sebanyak empat ceramah di setiap kawasan parlimen yang akan dikelolakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pemimpin setempat.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.