KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan jualan sebanyak RM2.5 juta menerusi Kempen Mari Beli Lokal menerusi platform e-dagang, MyMall dibangunkan kementerian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini hampir 1,000 usahawan menyertai Kempen Mari Beli Lokal - Ramadan & Raya yang menawarkan lebih 800 produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya.

“Kempen dijalankan ini bertujuan menarik sokongan orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan. Usaha ini juga secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses pendigitalan mereka. Ini kerana untuk terus bertahan, PMKS harus segera beradaptasi penggunaan teknologi digital.

“Perkara ini dapat kita lihat dengan jumlah populasi pengguna digital di Malaysia, yang dicatatkan tertinggi berbanding negara serantau Asia Tenggara iaitu seramai 25 juta pengguna,” katanya ketika Majlis Pelancaran Mari Beli Lokal Ramandan & Raya di Malaysia Grand Bazaar, di sini pada Rabu.

Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya yang dikuasakan oleh platform digital MyMall tersebut akan berlangsung sehingga 22 April ini.

Menerusi kempen tersebut, orang ramai turut berpeluang mendapatkan produk daripada usahawan tempatan termasuk Sabah seperti Ikan Bilis Mata Biru.

Mari Beli Lokal juga disertai usahawan selebriti terkenal seperti Lima Waktu, 7zikr, KEKASIH by The Melvins, Aspirasi Jelita Ainina Ahmad B, Girl Republique, SamTilla, Starvendors dan Boenda.

Menurut Ewon, KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi.

“Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Selain menyediakan platform e-dagang tanpa caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan,” jelasnya.

Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my atau e-mel ke [email protected]

Bagi yang berminat mendapatkan kelengkapan Ramadan dan Raya seperti makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi www.mymallmalaysia.my atau aplikasi MyMall 2.0 yang boleh dimuat turun di PlayStore atau AppStore.