NILAI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sejumlah RM38.7 juta geran perniagaan serta kemudahan pembiayaan kepada usahawan dan koperasi Negeri Sembilan yang berdaya maju.

Geran  dan pembiayaan menerusi agensi di bawah KUSKOP, antaranya SME Corporation Malaysia, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Tekun Nasional dan Bank Rakyat itu disempurnakan sempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023) di Dataran Nilai, di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat memperkasa agenda keusahawanan usahawan di peringkat negeri dan sekali gus memberi inspirasi kepada kumpulan usahawan lain.

“Bersempena perasmian program hari ini kita juga telah menyampaikan pembiayaan kepada usahawan-usahawan dan koperasi di seluruh Negeri Sembilan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM38,778,995.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan (mempunyai) hubungan yang erat untuk memastikan banyak usahawan di negeri ini mendapat pembiayaan dari agensi-agensi yang diletakkan dibawah KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan ‘mock cheque’ kepada penerima di Majlis Pelancaran PJUKM Negeri Sembilan.

Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan penganjuran Karnival Negeri Sembilan (NS Fest 2023) yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini.

Antara pengisian utama program termasuklah Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang menawarkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan produk-produk koperasi pada kadar 20-30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Ia selaras dengan usaha kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Mengulas lanjut ujar Ewon, penyampaian pembiayaan kepada Negeri Sembilan yang merupakan negeri ketiga selepas Sabah dan Selangor itu menjadi bukti Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak meminggirkan usahawan di mana-mana negeri.

“Mudah-mudahan dengan pembiayaan disalurkan ini secara geran dan juga pembiayaan pinjaman dapat membantu keperluan usahawan membina perusahan mereka dan seterusnya jadi inspirasi kepada usahawan lain untuk terus berjaya,” tambahnya.