KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, menurun 18 peratus daripada RM48.02 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2021.

Menurut kenyataan KWSP pada Isnin, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 pula mencecah RM12.32 bilion, lebih rendah daripada RM13.97 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik yang berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (The Fed).

"Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik.” jelasnya.

Dalam pada itu, ekuiti menyumbang RM5.49 bilion, merangkumi 45 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar, dan KWSP berjaya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku yang sihat sebanyak 13 peratus untuk pendapatan pelaburan kasar daripada portfolio ekuitinya ketika ketidaktentuan pasaran yang meninggi.

"Ini menjadi semakin penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi.

"Pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM4.77 bilion atau 39 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar semasa suku ketiga 2022, menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP," tambahnya.

Selain itu, hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang KWSP pula masing-masing menyumbang RM1.67 bilion dan RM0.39 bilion.

"Setakat September 2022, sebanyak 36 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP merupakan pelaburan luar negara, menjana pendapatan RM5.28 bilion," katanya.

Menurut dana persaraan itu, sejumlah RM1.42 bilion daripada RM12.32 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah manakala Simpanan Kovensional sebanyak RM10.90 bilion.

Menyentuh prospek, Amir Hamzah berkata pemulihan ekonomi negara menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan, dan pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti KWSP untuk menggubal strategi perniagaannya untuk keteguhan jangka pendek di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh kami kawal iaitu peruntukan aset, kos, dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan.

“KWSP mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro seperti kemungkinan kemuncak inflasi global dan jangkaan The Fed bahawa kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya.

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM39.31 bilion bagi sembilan bulan pertama 2022