Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata beliau berharap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan menangani kebimbangan penilaian berkaitan dengan pembelian pegangan PT Eagle High Plantations (EHP).

Shahril Ridza hari ini mengesahkan wakil KWSP mempersoalkan rasional di sebalik pembelian pegangan EHP yang bernilai US$680 juta (RM2.55 bilion) terutamanya premium besar yang diberikan kepada janji niaga itu, semasa mesyuarat agung tahunan FGV semalam.

"Kami melahirkan pandangan kami mengenai pengumuman yang dibuat berkaitan dengan cadangan pembelian mereka (FGV), tetapi kami maklum pada dasarnya janji niaga itu tertakluk kepada kajian terperinci yang sedang dijalankan dan tertakluk kepada undian pemegang saham pada masa hadapan.

"Tiada undian dibuat mengenai isu ini semalam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara 'In the Spotlight' di Bursa Malaysia.

Shahril Ridza berkata wakil KWSP semalam melahirkan pandangan berdasarkan kepada fakta-fakta dilaporkan yang dikeluarkan setakat ini.

"Itulah yang selalu KWSP lakukan. Sebarang isu atau kebimbangan yang timbul, kami akan membangkitkannya di mesyuarat syarikat, seperti di mesyuarat agung tahunan FGV.

"Kami telah meluahkan kebimbangan kami, tetapi tidak melahirkan atau membuat sebarang keputusan bagaimana kami akan mengundi transaksi ini. Harapnya, mereka (FGV) akan menangani perkara ini apabila tiba masa untuk mengundi," katanya.

Sementara itu, FGV semalam melaporkan ia akan memutuskan pada Ogos sama ada untuk meneruskan pembelian EHP atau sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata nasib janji niaga itu akan bergantung kepada keputusan kajian terperinci yang sedang dilaksanakan dan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan pada Ogos.

FGV bercadang membeli 37 peratus pegangan dalam EHP daripada pemegang saham utamanya, Rajawali Corporation, dengan harga US$680 juta di mana US$632 juta akan dibayar secara tunai bagi 30 peratus pegangan, manakala baki 7.0 peratus pegangan akan dilunaskan menerusi terbitan 95 juta saham baharu FGV.

KWSP ketika ini memegang hanya lima peratus pegangan dalam FGV, berbanding hampir 10 peratus apabila kumpulan itu disenaraikan pada 2012, kata Shahril Ridza.

Pemegang saham utama lain FGV ialah Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan kerajaan Pahang, yang masing-masing memegang 7.8 peratus, 5.6 peratus dan lima peratus pegangan.

Shahril Ridza merupakan salah seorang ahli panel acara tersebut yang dihoskan oleh bursa tempatan, yang membincangkan mengenai FTSE4Good Bursa Malaysia Index dan perkadaran nilai bagi pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Tajuddin Atan, dan wakil-wakil pengurus dana.