Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini melaburkan 18 peratus daripada aset pelaburannya di pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Dana KWSP ada lebih kurang RM500 bilion. Peratusan tertinggi yang dibenarkan adalah 23 peratus dan sekarang ini baru 18 peratus."

"KWSP akan terus tingkatkan penglibatan mereka dalam pasaran saham, terutama syarikat sederhana," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat Khamis.

Ahmad Hamzah meminta penjelasan mengenai kesan terhadap pasaran modal negara susulan langkah-langkah yang diambil KWSP.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri itu berkata, selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (CMP2) untuk 10 tahun akan datang, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memperluaskan kelas aset pasaran modal bagi meningkatkan penyertaan pelabur runcit tempatan.

Katanya, sasaran Malaysia untuk menjadi satu pasaran modal yang maju seperti terkandung dalam CMP2 merangkumi ciri-ciri tertentu pasaran modal, termasuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan, pasaran yang lebih meluas serta berinovasi tinggi.

"Dengan kerancakan pembangunan ekonomi yang diterajui sektor swasta di bawah Program Transformasi Ekonomi, Bursa Malaysia akan terus menjadi destinasi IPO (penawaran awam permulaan) bagi penjanaan dana.

"Di samping itu, pasaran akan terus dikukuhkan dengan peningkatan infrastruktur serta kepelbagaian instrumen," katanya.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan untuk merancakkan pasaran tempatan termasuk Bursa Malaysia melancarkan Dagangan Bon Runcit dan Sukuk Runcit (ETBS) di mana semua pelabur boleh mempunyai akses kepada bon/sukuk dengan mudah melalui pasaran saham.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengumumkan pelan penubuhan sebuah platform pelaburan alternatif dinamakan MyULM (Malaysia Unlimited Market) untuk membolehkan pendanaan industri kecil dan sederhana serta perniagaan permulaan dilakukan secara online.