SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengambil tindakan segera susulan insiden seorang penumpang tergelincir sehingga cedera di bahagian kepala di Bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan KLIA kesal dengan insiden berkenaan dan telah mengambil tindakan susulan terhadap maklum balas yang diterima daripada penumpang terlibat.
"KLIA kesal dengan insiden yang berlaku di Bilik VIP Terminal 1 awal hari ini dan telah mengambil tindakan susulan berhubung maklum balas yang diterima daripada penumpang terjejas.
"Kawasan terjejas telah menjalani pemeriksaan menyeluruh dan langkah pembetulan yang sewajarnya telah dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan kemudahan," menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa KLIA kekal komited untuk memastikan persekitaran yang selamat, terjamin dan selesa bagi semua pengguna lapangan terbang di seluruh kemudahan yang disediakan.
Terdahulu, dilaporkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar mengalami luka pada kepala sehingga terpaksa menerima jahitan selepas tergelincir di dalam tandas KLIA, pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Jamawi berkata insiden itu berlaku akibat permukaan lantai yang licin ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.
“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA. Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai.
“Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya.
-- BERNAMA