Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bukan lagi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mahathir berkata, beliau sudah mengarahkan polis mengeluarkan laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah OSA.

"Mereka kemudian akan menghantar laporan itu kepada saya dan saya akan menelitinya," katanya selepas majlis pengumuman barisan kabinet di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Laporan audit 1MDB itu dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) di Parlimen pada April 2016.

Namun, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengklasifikasikan laporan itu di bawah OSA dan tidak pernah dibahaskan di Parlimen.