Laporan sebuah firma kajian berpangkalan di Hong Kong, GMT Research yang dikeluarkan baru-baru ini berhubung prestasi syarikat penerbangan AirAsia, dianggap tidak mencerminkan prestasi sebenar syarikat itu.

GMT Research dalam laporannya itu dikatakan mempersoalkan aliran tunai serta perakaunan syarikat penerbangan AirAsia Berhad, sekali gus didakwa menyebabkan harga saham AirAsia dan AirAsia X di Bursa Malaysia jatuh.

Menurut penganalisis pasaran, Endau Analytics Shukor Yusof, sentimen seperti itu adalah satu kebiasaan dalam pasaran apabila sesuatu laporan keluar, namun ia tidak menggambarkan asas syarikat yang lemah.

Shukor berkata, beliau memerhati dan mengkaji AirAsia sejak ia mula ditubuhkan dan yakin terhadap ketelusan syarikat itu.

“Terdapat sentimen negatif hasil laporan GMT Research. Namun, saya berpendapat bahawa AirAsia kekal kukuh sebagai satu kumpulan dan sebagai satu syarikat penerbangan.

“Jelas sekali wujud isu dalam industri penerbangan yang mampu menjejaskan semua penerbangan lain. AirAsia juga ada masalah, seperti AirAsia X yang sedang memperbetulkan laluan penerbangan dan strategi perniagaannya,” katanya.

Begitupun, menurut Shukor, semua itu bukan faktor yang menjatuhkan harga saham syarikat itu dan beliau yakin ia akan kembali pulih walau mungkin tidak setinggi dahulu. Nilai saham itu turut bergantung kepada faktor lain seperti harga minyak dan prestasi AirAsia X di Thailand serta Indonesia.

“Sekiranya Tony (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes) tidak berkata apa-apa mengenainya, itu tidak bermakna keadaan sedang teruk,” ulas Shukor.

Beliau pada masa sama berkata faktor pasaran penerbangan yang lembap juga menyumbang kepada sentimen.


Sementara itu GMT Research berkata, pihaknya kini sedang berunding dengan AirAsia berkaitan perkara berkenaan.

Laporan pada 10 Jun mempersoalkan tentang akaun, penjanaan untung, isu aliran tunai, pergerakan dan struktur kumpulan bagi syarikat AirAsia Berhad, kata pengasas GMT Research, Gillem Tulloch.

Laporan berkenaan buat masa ini hanya untuk pelanggan firma penyelidikan itu dan GMT boleh membincangkan isu itu secara terbuka bermula 24 Jun.

BACA: Akaun, aliran tunai AirAsia dipersoal dalam laporan GMT Research