LBS Bina Group Bhd mensasar jualan hartanah RM 1.2 bilion bagi 2016.

Menurut Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San, beliau optimis jumlah tersebut akan dapat dicapai daripada 15 projek yang bakal dilaksanakan syarikatnya bagi tahun 2016.

Tambah beliau LBS meraih jualan sebanyak RM 1.029 bilion pada 2015.

Beliau berkata projek perumahan di kawasan Selangor merupakan penyumbang utama pendapatan 2015.

“LBS mempunyai banyak produk. Kita mempunyai taman perindustrian, rumah kedai, perumahan dan banyak lagi yang kami yakin boleh dijual.

“Dengan itu, sasaran jualan kami tahun ini ialah RM 1.2 bilion dan kami yakin kami boleh mencapai sasaran tersebut,” kata Lim.

Setakat ini, 15 projek yang bakal dibangunkan mempunyai nilai pembangunan kasar RM 5.9 bilion.

Antara 15 projek ini ialah Bandar Saujana Putra 21, Sky Villa @ D'island Residence dan Rumah Selangorku.

LBS mensasar sumbangan jualan melebihi 85 peratus melalui pembangunan di Lembah Klang tahun ini.

Hartanah untuk pelaburan dan rumah mampu milik

Sementara itu, Lim menasihati pelabur agar lebih teliti dalam memilih jenis hartanah untuk dilaburkan.

Tambahnya, harga hartanah dan kemampuan mendapat pinjaman harus turut menjadi kriteria dalam pelaburan hartanah.

Selain itu, Lim berkata sasaran syarikat bagi saiz rumah mampu milik pada 2016 adalah 1000 kaki persegi.

Menurut beliau, ini adalah saiz yang sesuai dengan sasaran syarikat dan sebarang rumah yang lebih besar akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

Beliau turut mengumumkan LBS bakal melancarkan sebuah projek perumahan mampu milik di Batu Pahat.

Beliau berkata rumah yang berkeluasan seribu kaki persegi itu mungkin dijual pada harga RM 300 ribu.

“Kami jual berdasarkan kaki persegi. Jika anda memilih unit yang lebih besar, ia akan lebih mahal. Itulah sebabnya LBS sentiasa mensasar saiz 1000 kaki persegi. Ia cukup dengan tiga bilik, sesuai bagi keluarga kecil.

“Berkenaan rumah mampu milik, sebagai pemaju apabila kami melancarkan rumah mampu milik, kami memerlukan keuntungan. Jika kita tidak mendapat keuntungan, saya rasa pemegang saham juga akan kerugian,” kata Lim.

Tambahnya, LBS sentiasa menyokong usaha kerajaan bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

Selain projek rumah mampu milik di Batu Pahat, LBS turut akan melancarkan Rumah Selangorku di Bandar Saujana Putra dan Perumahan Penjawat Awam Satu Malaysia (PPA1M) di Bukit Jalil.