KUALA LUMPUR: Lebih banyak penyedia perindustrian Islam diperlukan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi kewangan (fintech) Islam yang terkemuka, menurut pengupaya ekonomi digital tempatan, Cardtrend Systems.

Pengarah Urusannya Chee Yong Mok berkata, sekiranya Malaysia berupaya mendapat lebih banyak penyedia perindustrian Islam untuk menyertai pasaran fintech Islam, negara akan memperoleh manfaat yang lebih besar dalam pasaran fintech Islam global.

"Saya percaya fintech Islam telah menjadi pusat tumpuan baharu dalam kalangan syarikat pemula niaga dan pembangunan teknologi maklumat (IT) memandangkan Ekonomi Digital Islam telah dikenal pasti sebagai satu daripada Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh kerajaan," katanya dalam temubual dengan Bernama.

Menurutnya semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk memperkukuh segala sumber bagi membangunkan industri, manakala penyedia perkhidmatan juga perlu berganding bahu untuk menghindari persaingan yang tidak perlu.

"Saya percaya semua peserta industri perlu merancang dan mencari ciri-ciri jualan unik mereka sebelum menceburi industri fintech Islam.

"Kami memerlukan lebih ramai peserta dalam industri ini, namun, apa yang lebih penting, kami memerlukan seseorang yang ada kemahuan dan persediaan untuk berada dalam bidang ini dalam jangka panjang," katanya.

Chee berkata Laporan Fintech Islam Global Dinar Standard 2021 meramalkan pasaran fintech Islam berpotensi untuk berkembang kepada US$128 bilion menjelang 2025 di seluruh dunia.

Memetik laporan Fintech News Malaysia, beliau berkata, ini memberi banyak ruang kepada peserta industri untuk berkembang di Malaysia kerana kurang daripada lima peratus syarikat fintech yang beroperasi di Malaysia adalah memenuhi keperluan fintech Islam.

"Oleh itu, permintaan untuk penyedia perindustrian Islam yang lebih dipercayai dan selamat di seluruh negara dan di rantau ini mencatatkan peningkatan pada setiap hari.

"Dengan kedudukan dan perancangan pasaran semasa, saya berpandangan, potensi Malaysia untuk kekal sebagai negara terkemuka dalam industri fintech Islam adalah menggalakkan," katanya.

Menurut Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2021 yang dikeluarkan pada 28 Mac, sehingga 31 Dis, 2021, jumlah pengendali platform yang mempunyai pilihan dalam menawarkan pembiayaan patuh syariah ke pelbagai segmen Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah bertambah kepada enam berbanding empat pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Chee berkata Cardtrend Systems baru sahaja mendaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam Komuniti Ekonomi Digital Islam.

"Hasrat kami adalah untuk memulakan perjalanan fintech Islam bersama-sama program dan garis panduan MDEC agar kami boleh kekal relevan kepada industri fintech Islam utama.

"Matlamat Cardtrend Systems adalah untuk menjadi satu daripada penyedia penyelesaian terkemuka yang memenuhi keperluan ekonomi digital Islam di rantau ini, terutamanya dalam aspek gaya hidup digital dan menyumbang kepakaran kami dalam perkhidmatan berkaitan urus niaga digital," katanya.

Cardtrend Systems merupakan pengupaya ekonomi digital yang menawarkan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif dan selamat antaranya FleetOps Backend System, LoyaltyOps Backend dan iAuth, iPricer, iCrypto.

-- BERNAMA