KUALA LUMPUR: Adakah anda tahu Lynas Malaysia merupakan pembekal kepada pengeluar alatan teknologi yang diguna pakai setiap hari di Malaysia termasuk kenderaan elektrik, pengimejan resonans magnetik (MRI) dan telefon pintar?

Syarikat tersebut juga telah melabur sebanyak RM3 bilion terhadap pembinaan loji dan peralatan di Malaysia selain membelanjakan sejumlah RM730 juta secara tahunan yang menyokong kepada pembangunan ekonomi negara.

Pelaburan langsung itu berjaya menyumbang kepada penciptaan lebih 4,600 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung bagi rakyat Malaysia, malah rekod turut menunjukkan 99 peratus pekerja di Lynas Malaysia merupakan orang tempatan.

Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas Malaysia, Mimi Afzan Afza berkata, pihaknya sangat berbangga dengan warga Lynas Malaysia di atas kejayaan dan sumbangan mereka kepada negara dan teknologi dunia.

“Bagaimanapun kita tidak banyak membuat publisiti tentang sumbangan kami.

"Namun untuk kempen ‘Who are we? We are Lynas Malaysia!’ kami akan berkongsi kepada rakyat Malaysia peranan penting yang kami mainkan untuk negara Malaysia kami yang tercinta.

“Lynas Malaysia memainkan peranan penting dalam pembuatan alatan berteknologi tinggi dan sentiasa memberi fokus kepada penjagaan keselamatan dan kesihatan pekerja, ahli komuniti dan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.



Bagi meraikan lebih 10 tahun sejak melabur di Malaysia bagi membangunkan industri nadir bumi masa hadapan, syarikat itu melancarkan kempen pemasaran baharu Lynas Malaysia.

Kempen ini akan memperkenalkan warga Lynas Malaysia termasuk kepimpinan daripada komuniti sekitar dan membawa elemen informasi bersama tema ‘Who are we? We are Lynas Malaysia!

Menerusi kempen berkenaan ia turut berkongsi fakta tentang peranan penting syarikat dan kakitangan terhadap rantaian bekalan pembuatan global dalam tempoh lebih 10 tahun ini.

Lynas Malaysia turut berterima kasih kepada pakar-pakarnya dari tenaga kerja tempatan yang menjadikan syarikat sebagai pengeluar utama dunia bagi unsur nadir bumi terpisah di luar China.

Malah, warga Lynas telah diiktiraf antara pakar nadir bumi di dunia.

Syarikat tersebut turut memenuhi semua syarat pelaburan dan mematuhi semua peraturan dan melaksanakan amalan terbaik dunia dalam operasi, keselamatan serta alam sekitar.