BISNES
Lebihan dagangan Malaysia kekal positif pada Jun, eksport susut 3.5%

Mohd Uzir berkata kejatuhan jumlah dagangan negara dipacu oleh penurunan eksport sebanyak 3.5 peratus kepada RM121.7 bilion, manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM125.9 bilion. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM8.6 bilion pada Jun 2025, meneruskan rekod lebihan selama 62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, meskipun eksport terus menunjukkan trend penyusutan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah dagangan negara merosot 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM234.9 bilion berbanding RM237.8 bilion pada Jun 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kejatuhan ini dipacu oleh penurunan eksport sebanyak 3.5 peratus kepada RM121.7 bilion, manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM125.9 bilion.
"Penurunan eksport disumbang oleh kelemahan dalam eksport domestik yang susut 5.2 peratus kepada RM95.3 bilion, walaupun eksport semula meningkat 3.4 peratus kepada RM26.4 bilion."Penghantaran lebih rendah ke Singapura (-RM3.5 bilion), China (-RM1.5 bilion) dan Thailand (-RM691.8 juta) antara faktor utama penurunan eksport," katanya.
Sektor eksport yang terjejas termasuk keluaran petroleum (-RM3.3 bilion), gas asli cecair (-RM1.2 bilion), dan kimia serta bahan kimia (-RM853.7 juta).
Sebaliknya, peningkatan import disokong oleh kemasukan lebih tinggi barangan elektrik dan elektronik (+RM3.8 bilion), diikuti jentera dan peralatan (+RM1.4 bilion), serta bijih logam dan serpihannya (+RM1.1 bilion).
Import barangan dari China melonjak RM3.1 bilion, manakala Amerika Syarikat dan Korea Selatan turut mencatat peningkatan ketara.
Berbanding Mei 2025, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing merosot 3.9 peratus, 10.1 peratus dan 7.0 peratus.
Namun, imbangan dagangan melonjak 1,030.7 peratus atau RM7.8 bilion, menggambarkan penguncupan import yang lebih besar berbanding eksport.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan negara meningkat 4.8% kepada RM1.5 trilion, disokong oleh pertumbuhan eksport (+3.8%) dan import (+5.9%).
Namun, lebihan dagangan bagi separuh tahun pertama ini menyusut 17. peratus kepada RM55.5 bilion.
Dalam suku kedua 2025 pula, walaupun jumlah dagangan meningkat 6.1 peratus, lebihan dagangan mengecil sebanyak 55.3 peratus kepada RM14.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami