Skip to main content

Malaysia

Aaron-Wooi Yik yakin pertahan kejuaraaan Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Beregu lelaki negara yang juga pilihan pertama kejohanan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang beregu Perancis Julien Maio dan William Villeger pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini.  Keputusan perlawanan Aaron dan Wooi Yik menang 21-12 dan 21-10. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Gandingan nombor dua dunia itu akan memulakan kempen Terbuka Singapura 2026 dengan menentang pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo dan Toma Junior Popov pada pusingan pertama Selasa ini. - Gambar fail/Bernama

SINGAPURA: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yakin dapat mempertahankan gelaran juara Terbuka Singapura 2026 yang bakal membuka tirai Selasa ini.

Aaron berkata mereka menyertai saingan itu tahun ini dengan persiapan terbaik susulan kekecewaan yang dialami pada Malaysia Masters 2026 baru-baru ini.

“Sudah tentu kami berharap dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas dan kami datang ke sini dengan persiapan rapi.

“Kami juga tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan ke atas diri sendiri dan akan mengharungi perlawanan demi perlawanan,” kata Aaron pada sidang media hari ini.

Gandingan nombor dua dunia itu akan memulakan kempen Terbuka Singapura 2026 dengan menentang pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo dan Toma Junior Popov pada pusingan pertama Selasa ini.

Ditanya kemungkinan bertemu beregu nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam kejohanan itu, Wooi Yik berkata mereka akan menyesuaikan corak permainan sekiranya bertemu pasangan berkenaan.

Beliau berkata mereka sendiri turut menjangkakan bakal bertemu pencabar dari Korea Selatan itu sekali lagi pada edisi tahun ini.

“Kami sudah banyak kali menentang mereka dan tidak banyak perbezaan yang ketara sebenarnya.

“Terdapat satu aspek penting yang perlu kami perbaiki dan kami berharap dapat menewaskan mereka di Terbuka Singapura 2026,” katanya.

Skuad Malaysia pada kejohanan Terbuka Singapura tahun ini akan diketuai oleh Aaron-Wooi Yik, yang juga juara bertahan acara beregu lelaki.

Malaysia turut memiliki pencabar utama dalam acara beregu wanita menerusi pasangan nombor dua dunia Pearly Tan-M. Thinaah, beregu campuran menerusi pasangan nombor tiga dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, serta satu lagi beregu lelaki menerusi gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement