BISNES
Lee, Anwar bincang perjanjian perdagangan bebas, perluas kerjasama Malaysia-Korea Selatan

Kedua-dua pemimpin mencapai persefahaman itu semasa perbualan telefon pertama mereka pada Isnin.
SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk bekerjasama memperluaskan hubungan dua hala secara "substantif dan saling menguntungkan", termasuk usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara, menurut Pejabat Presiden Korea Selatan.
Ringkasan AI
- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memperluas hubungan dua hala secara substantif dan saling menguntungkan, termasuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara.
- Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, infrastruktur, transformasi digital, pertumbuhan hijau dan pertahanan, bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan.
- Malaysia dan Korea Selatan juga bersetuju untuk menyumbang kepada kerjasama antarabangsa menjelang penganjuran Sidang Kemuncak APEC dan mesyuarat ASEAN pada penghujung tahun ini.
Presiden Lee turut menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan persahabatan dan kerjasama dua hala yang telah terjalin selama beberapa dekad berasaskan kepercayaan serta persefahaman bersama.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan.
Kedua-dua pemimpin juga berkongsi pandangan bahawa Malaysia dan Korea Selatan mampu menyumbang secara bermakna kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa memandangkan masing-masing bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada penghujung tahun ini.
Dalam perbualan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas pelantikannya sebagai Presiden, dan Lee menyatakan penghargaan atas ucapan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami