Lokasi strategik, infrastruktur kelas dunia serta akses kepada pekerja mahir kekal sebagai kekuatan Malaysia untuk terus menarik pelaburan dari Jerman, ekonomi keempat terbesar dunia, selain hubungan mampan di antara kedua-dua negara.

"Keputusan kami untuk melabur di Malaysia disebabkan, terutama oleh lokasi strategik, infrastruktur kelas dunia, akses kepada pekerja mahir serta kestabilan politik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Schmidt+Clemens, Jan Schmidt-Krayer.

"Malaysia dipilih selepas kami menilai pelbagai negara dan kami juga telah dua kali memperbesarkan kilang kami di Seremban," katanya kepada media Malaysia pada sesi dialog Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin perniagaan Jerman di sini, hari ini.

Antara 25 syarikat yang terlibat dalam sesi dialog itu ialah Atotech, AWS Schafer, BMW, Daimler, Osram, Volkswagen, Infineon, Bombardier Transportation, Ensinger, B.Braun, Green Sugar dan Biesterfeld International.

Schmidt+Clemens, yang telah melabur kira-kira RM100 juta setakat ini, merancang mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat tempatan bagi menawarkan perkhidmatan berkaitan gas dan minyak kepada Petronas.

Muhlbauer Group, iaitu rakan kongsi teknologi sehenti untuk kad pintar, ePassport dan industri solar juga berminat untuk terus melabur di Malaysia.

"Kami telah melabur kira-kira €50 juta dan mempunyai dua kilang di Melaka dan kami merancang untuk mendirikan sebuah lagi," kata Presidennya, Josef Muhlbauer.

Kerjasama syarikat itu dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia amat baik, katanya.

X-Fab, pakar faundri isyarat bercampur mula melabur di Malaysia sejak 2006 melalui pengambilalihan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Rudi De Winter.

"Kilang itu amat sesuai dengan keperluan kami dan telah berkembang pesat. Selain itu, pekerjanya juga terlatih," katanya.

Syarikat tersebut, katanya, mencatat pertumbuhan 30 peratus tahun ini dan pihaknya yakin ia akan terus berkembang.

Selain itu, hubungan mampan di antara kedua-dua negara juga menjadi faktor penyumbang yang sangat besar, kata Pengarah Eksekutif, Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman, Daniel Bernbeck.

Jerman adalah pelabur terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah dengan 552 projek pembuatan setakat ini dan pelaburan bernilai US$11.4 bilion (kira-kira RM39.6 bilion) telah mewujudkan lebih 63,500 pekerjaaan baharu.

Firma terkenal Jerman yang mempunyai kehadiran kukuh sejak berdekad lalu termasuk Volkswagen, BMW, BASF, Osram, Mercedes, Audi, Deutsche Bank, Siemens AG, Bosch dan Infineon.

Tahun lepas, Jerman adalah rakan kongsi dagangan ke-12 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan perdagangan dua hala berjumlah US$10.3 bilion (RM35.74 bilion).

"Kini wujud peralihan ke Asia Tenggara dari China berikutan infrastruktur, sumber tenaga dan pekerja mahir yang baik," katanya dengan menambah, minat untuk melabur di Malaysia akan terus meningkat. - BERNAMA