BERLIN: Kebanyakan penerbangan di lapangan terbang Jerman dibatalkan pada Isnin selepas juruterbang Lufthansa melancarkan mogok baharu sejurus selepas tengah malam, lapor Anadolu Ajansi.
Kesatuan juruterbang Jerman, Vereinigung Cockpit (VC) menggesa mogok di Lufthansa dan beberapa anak syarikatnya hingga Selasa susulan pertikaian buruh berhubung pelan pencen syarikat, persekitaran kerja serta pampasan anak syarikat serantau, Cityline.
Advertisement
Mogok membabitkan juruterbang bagi Deutsche Lufthansa, Lufthansa Cargo dan Cityline bermula sejurus selepas tengah malam dan dijadual berakhir sejurus sebelum tengah malam pada Selasa.
Bagi syarikat penerbangan percutian Eurowings, hanya penerbangan berlepas dari lapangan terbang Jerman terjejas pada Isnin.
Di lapangan terbang utama Jerman, beberapa penerbangan ke dan dari Frankfurt serta Munich dibatalkan susulan mogok itu.
VC menjangkakan ratusan penerbangan sehari akan dibatalkan.
Pada Ahad, Eurowings menjangkakan dapat mengendalikan “sebahagian besar” jadual penerbangannya.
Ini merupakan gelombang mogok keempat di Lufthansa tahun ini.
Baru-baru ini, mogok kru kabin menyebabkan banyak penerbangan dibatalkan syarikat penerbangan terbesar Jerman itu.
Mogok oleh kesatuan Cockpit itu berpunca daripada pertikaian buruh berhubung pelan pencen syarikat dan pampasan anak syarikat serantau, Cityline.
Kesatuan juruterbang itu memaklumkan beberapa laluan dikecualikan daripada mogok berikutan ketegangan geopolitik dan pertimbangan kemanusiaan.
Penerbangan ke Mesir, Azerbaijan, Bahrain, Iraq, Israel, Yemen, Jordan, Qatar, Kuwait, Lubnan, Oman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu akan terus beroperasi.
Presiden kesatuan, Andreas Pinheiro berkata pihaknya mahu mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak, namun menuduh Lufthansa gagal mengemukakan cadangan konkrit.
“Ia tidak membantu apabila pihak satu lagi hanya memberi isyarat kesediaan untuk berbincang tetapi tidak mahu membincangkan penambahbaikan terhadap skim pencen syarikat,” kata Pinheiro.
Sementara itu, jurucakap jawatankuasa tawar-menawar kolektif kesatuan itu, Arne Karstens berkata tujuh pusingan rundingan dan usaha pengantaraan telah gagal, dan rundingan tidak akan disambung semula sehingga Lufthansa mengemukakan “tawaran yang boleh dirunding”.
-- BERNAMA-ANADOLU