Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membina anjung tinjau pesawat pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha mengubah lapangan terbang itu dan persekitarannya menjadi destinasi menarik.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata pembinaan anjung dinamakan Anjung Spotter itu dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap bulan depan.

Katanya anjung tinjau itu akan dibina di luar perimeter lapangan terbang, bersebelahan satu daripada tiga landasan KLIA.

"Dari Anjung Spotter, orang ramai akan dapat menikmati pemandangan saat-saat pesawat berlepas dan mendarat di landasan.

"'Planespotter' (pengesan pesawat) serta penggemar penerbangan pastinya teruja kerana mereka kini mempunyai tempat terbaik untuk melihat pesawat tiba di Runway 32L, membolehkan mereka mengambil gambar menarik," katanya.

Raja Azmi berkata anjung tinjau pesawat itu merupakan simbol komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman di lapangan terbang.

Katanya Anjung Spotter juga akan dijadikan tarikan pelancong yang harus dikunjungi pelawat yang tiba di KLIA.

"Pada masa ini terdapat ramai pengesan pesawat yang datang ke Malaysia untuk berjumpa rakan-rakan dengan minat sama sebelum ke lapangan terbang bagi merakam gambar.

"Anjung Spotter akan pasti menjadi lokasi 'Insta-worthy' (berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram) seterusnya," katanya.

-- BERNAMA