KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak lagi akan menumpukan pelaburan dalam satu aset entiti sebaliknya memilih untuk mempelbagaikan risiko pelaburan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman, strategi itu adalah bagi menjamin kelangsungan badan persaraan itu.

“Ketika ini suku pelaburan kita tertumpu kepada sebuah syarikat iaitu Boustead Holdings, lebih kurang 50 peratus pendedahan dalam syarikat itu.

“Kita perlu pelbagaikan selera risiko pelaburan, malah dalam kelas aset tertentu juga, ia turut akan dipelbagaikan melibatkan pelaburan dalam beberapa buah syarikat, aset dan portfolio.

“Penumpuan dalam satu entiti bukan amalan terbaik untuk pengurus dana persaraan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.

Menurut Ahmad Nazim, LTAT juga tidak melihat kepada kelas aset baharu sebaliknya menumpukan kepada empat aset kelas sedia ada iaitu ekuiti, pendapatan tetap, hartanah dan pasaran wang.

Mengikut Peruntukan Strategik Aset (SAA), LTAT memberikan tumpukan 50 peratus kepada ekuiti awam, 20 peratus dalam pendapatan tetap, 10 peratus dalam ekuiti swasta, 10 peratus dalam hartanah dan baki 10 peratus dalam sektor strategik dan pasaran wang.