Skip to main content

Malaysia

Gaduh di depan sekolah, polis tahan 13 kanak-kanak di Skudai

Video tular memaparkan kejadian pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Skudai.
Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan di depan sebuah sekolah di Skudai.

JOHOR BAHRU: Polis menahan 15 individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 12.45 tengah hari semalam, dan mereka ditahan terdiri daripada 13 kanak-kanak lelaki serta dua wanita tempatan berusia antara 12 hingga 37 tahun. 

Advertisement

Mereka ditahan antara 3 petang hingga 11.11 malam tadi di kawasan Nusa Bestari serta Iskandar Puteri.

“Punca pergaduhan dipercayai akibat tidak puas hati apabila seorang daripada suspek telah ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas dua wanita terbabit dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini, manakala semua kanak-kanak lelaki direman sehingga 14 April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 kanun sama iaitu sengaja mendatangkan kecederaan.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 29 saat yang memaparkan pergaduhan itu tular di Facebook.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video