BISNES
MAA kekal unjuran jualan 2025 meskipun catat penurunan jualan separuh pertama

Mohd Shamsor (tengah) bercakap pada sidang akhbar mengenai semakan prestasi peniaga dan pengeluar motor untuk separuh pertama 2025, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2025 sebanyak 780,000 unit, meskipun penurunan 4.6 peratus tahun ke tahun jualan kenderaan bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
Unjuran itu merangkumi 724,000 unit bagi kenderaan penumpang dan 56,000 unit kenderaan komersial.
Ketua Pegawai Operasi MAA Muhammad Fateh Teh Abdullah berkata sebanyak 373,636 kenderaan didaftarkan pada separuh pertama 2025, berbanding 391,451 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
"MAA mengekalkan unjuran yang diumumkan pada Januari. Faktor yang diambil kira termasuk prospek ekonomi domestik."Tidak dinafikan banyak cabaran semasa yang menjejaskan ekonomi. Bagaimanapun, apabila kami melihat unjuran yang dikeluarkan oleh beberapa firma penyelidikan, terutamanya selepas tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), kami kekal dengan prospek yang berhati-hati namun optimis," katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Prestasi Peniaga Motor dan Pengilang bagi separuh pertama 2025 di sini hari ini.
Muhammad Fateh berkata firma penyelidikan menunjukkan penurunan TIV secara keseluruhan sekitar 0.5 peratus.
Beliau menyifatkan kelembapan separuh pertama disebabkan beberapa faktor utama, termasuk kesan asas yang tinggi daripada catatan TIV sebanyak 816,747 unit pada 2024, serta pembelian awal pada Disember tahun lepas.
"Pada Disember 2024, MAA mencatatkan TIV bulanan tertinggi pernah dicatatkan sebanyak 81,735 unit. Ini diikuti dengan penurunan jualan pada Januari tahun ini, dengan hanya 50,397 unit dijual berbanding 66,919 unit pada Januari 2024.
"Penghapusan subsidi diesel pada Jun 2024 juga memberi kesan negatif kepada segmen kenderaan komersial, dengan permintaan merosot sebanyak 21 peratus pada separuh pertama 2025," katanya.
Dari segi pengeluaran, jumlah keluaran industri menurun 10 peratus kepada 352,626 unit, dengan pengeluaran kenderaan penumpang susut 10 peratus, manakala kenderaan komersial turun 12 peratus.
Beliau turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dijangka meningkat tahun ini, dipacu oleh pelancaran model-model baharu khususnya pada suku keempat, selain kempen promosi agresif oleh ahli-ahli MAA.
"Segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) menyumbang pertumbuhan volum tertinggi, dengan hampir 100,000 unit didaftarkan berbanding 95,000 unit dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.
Beliau berkata apabila digabungkan jualan hibrid dan EV dalam segmen SUV, jumlah jualan meningkat kira-kira 36 peratus berbanding separuh pertama 2024, dengan 30,573 unit terjual dalam tempoh sama tahun ini.
Kadar dasar semalaman (OPR) yang diturunkan sebanyak 25 mata asas baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia juga dijangka menyokong perbelanjaan pengguna dan pembelian kenderaan.
MAA turut menekankan prospek ekonomi domestik kekal berdaya tahan, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur berada antara 3.5 peratus hingga 4.5 peratus, meskipun berdepan tekanan luaran seperti tarif global yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami