KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) kembali untung dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023), berbanding kerugian bersih sebanyak RM344 juta pada TK2022.

Kumpulan itu turut merekodkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM13.85 bilion, meningkat 31 peratus berbanding RM10.61 bilion pada TK2022.

Ia juga mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM889 juta bagi tahun kewangan 2023 (TK2023), peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding RM540 juta yang dicatatkan pada TK2022.

Sehingga 31 Dis, 2023, baki tunai MAG kekal kukuh pada RM4.27 bilion, yang menunjukkan kestabilan dari segi kewangan dan pandangan jauh strategiknya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kapten Izham Ismail menyifatkan keuntungan bersih pertama kumpulan adalah satu pencapaian penting dan prestasi kukuh trafik penumpang daripada segmen premium, aliran rangkaian antarabangsa yang diperhebat, dan pengurusan kapasiti yang aktif.

Beliau berkata demikian semasa taklimat Prestasi Tahunan MAG bagi TK2023 pada Khamis, yang mana beliau turut mengetengahkan kerjasama di antara syarikat penerbangan dan bukan syarikat penerbangan, bersama dengan hasil yang lebih kukuh untuk segmen penumpang telah membantu mencatatkan prestasi yang baik.

"Kejayaan ini dicapai walaupun berdepan kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, ringgit yang melemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran yang tidak menentu, harga bahan api dan kadar faedah yang tinggi," tambah Izham.

Sementara itu, jumlah hasil bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB) meningkat sebanyak 45 peratus tahun ke tahun, disokong oleh kapasiti yang lebih tinggi, permintaan kukuh, dan tumpuan kepada sektor antarabangsa bagi segmen perniagaan penumpang.

MAB mencatat keuntungan operasi yang jauh lebih tinggi sebanyak RM1.10 bilion daripada RM80 juta pada 2022, manakala kapasitinya berada pada tahap 90 peratus.

Sementara itu, bahagian kargo kumpulan, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah berikutan permintaan muatan kargo yang semakin lemah dan persaingan pasaran yang semakin meningkat.

Bagi MAB Engineering Services Sdn Bhd, ia terus mendapat momentum dan menunjukkan prestasi yang baik, dengan pihak ketiga kini menyumbang sebanyak 24 peratus daripada hasilnya.

Kumpulan itu telah mencapai kemajuan ketara dalam pelan pemulihannya iaitu Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 berikutan penstrukturan semula kewangannya yang berjaya pada 2021, memperoleh pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, pengurangan kerugian fiskal serta aliran tunai operasi yang sihat, kata Izham.

Pada masa hadapan, beliau berkata, MAG bersedia untuk memanfaatkan momentum yang dijana pada 2023 dan meneruskan perjalanannya ke arah pertumbuhan yang mampan, memfokuskan pada memacu inovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan menyampaikan pengalaman unggul kepada pelanggan.

Beliau juga menyatakan bahawa perniagaan perkhidmatan bukan penerbangan milik kumpulan itu dijangka menyumbang sehingga 30 peratus daripada jumlah senarai teratas kumpulan menjelang 2025, di tengah-tengah jangkaan hasil perjalanan udara yang rendah pada akhir 2024.

"Selaras dengan strategi pemodenan dan pertumbuhan armada kami, MAG berada di landasan yang betul untuk mengintegrasikan 12 pesawat baharu pada 2024. Kami optimistik mengendalikan armada yang terdiri daripada 50 pesawat berbadan sempit dan 50 pesawat berbadan lebar menjelang 2033," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan, Bryan Foong berkata, kumpulan itu memantau rapi penghantaran 10 pesawat berbadan sempit, B737-8 Max seperti yang dirancang pada tahun ini.

"Kami telah agak terkesan dengan kekurangan pesawat yang mereka janjikan untuk dihantar. Jadi, kami terus bekerjasama dengan Boeing untuk kami benar-benar boleh menyelesaikan masalah ini," katanya sambil menambah keselamatan menjadi keutamaan paling utama untuk MAG dan akan terus menekankan operasi selamat dalam semua jejak globalnya.

Beliau berkata, kumpulan itu juga menjangkakan menerima pesawat A330 Neo pertamanya pada 27 September tahun ini. - BERNAMA