Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan Program Pemacu Global (GAP) dengan penyertaan 80 syarikat permulaan tempatan, serantau dan global dengan faedah bernilai lebih US$400,000.

Program selama empat bulan itu, dijangka bermula pada 4 Julai, 2017, dan dibangunkan atas rangka kerja sedia ada, akan mempunyai asas Asia Tenggara yang kukuh.

"Syarikat permulaan itu akan mendapat manfaat daripada Microsoft, Amazon Web Services, 123 RF, PiktoChart dan banyak lagi; peluang untuk belajar daripada pelabur dan mentor bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan.

Usahawan akan mempunyai akses langsung kepada rakan kongsi utama di Asia Tenggara seperti Axiata, Digi, Maybank dan Accenture, selain visa, elaun bulanan, penerbangan pergi balik, penginapan dan ruang kerja bersama.

"Mereka akan mempunyai peluang untuk meningkatkan idea perniagaan mereka berdasarkan sembilan vertikal industri GAP: bioteknologi, pendidikan, inovasi sosial, gaya hidup, rantaian bekalan, kreatif, kewangan, penjagaan kesihatan dan bandar pintar," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Ashran Ghazi berkata program itu dapat membantu usahawan Malaysia membuat penyesuaian kepada idea mereka dan membawa konsep mereka ke rantau ini, atau lebih jauh.

"Kami menggalakkan sesiapa yang berminat untuk datang ke pameran bergerak dan mengetahuinya dengan lebih lanjut. Ini mungkin menjadi laluan mereka ke salah satu ekosistem keusahawanan paling menarik di rantau ini," kata Ashran.

Permohonan bagi kohort pertama GAP dibuka hari ini.

Peserta akan disenarai pendek berdasarkan kepada tiga kriteria utama; prospek untuk berkembang di peringkat serantau dan global, potensi produk berskala tinggi dengan potensi pertumbuhan yang besar dan kemungkinan produk yang sedia untuk pasaran dengan beberapa daya tarikan.

GAP merupakan evolusi daripada Program Pemacu MaGIC, yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Komuniti Keusahawanan Global 2016.

Maklumat lanjut mengenai GAP dan pameran bergerak, sila layari http://accelerator.mymagic.my/en/gap/.

-- BERNAMA