Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut, isteri parah kemalangan di Sungai Besar

JBPM Selangor
Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, orang awam yang berada di lokasi kejadian membantu mengeluarkan isteri dan anak perempuan mangsa sebelum ketibaan bomba. -Gambar JBPM Selangor

SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Belia Dua, Sungai Panjang, Sungai Besar, dekat sini pada Rabu. 

Dalam kejadian itu, anak perempuan mereka berusia dua tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan. 

Advertisement

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 tengah hari. 

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer. 

"Setibanya di lokasi pada jam 1.53 tengah hari, pemeriksaan mendapati sebuah kereta Proton Saga yang dipandu mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik. 

"Pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Rabu. 

Ahmad Mukhlis berkata orang awam yang berada di lokasi kejadian membantu mengeluarkan isteri dan anak perempuannya sebelum ketibaan bomba. 

"Manakala mangsa lelaki yang tersepit dikeluarkan anggota bomba pada pukul 3.03 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. 

Mangsa wanita yang cedera parah serta kanak-kanak terbabit kemudian diserahkan kepada pasukan KKM untuk menerima rawatan lanjut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Must Watch Video