KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka menjana hasil keseluruhan lebih tinggi menerusi semakan semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) baharu bagi penumpang yang berlepas dari dan pemindahan dari Malaysia, kenaikan caj pendaratan dan parkir pesawat serta unjuran pendapatan yang lebih kukuh.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menerusi nota penyelidikannya semalam berkata ia yakin semakan PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) itu akan memberi impak positif kepada MAHB kerana ini akan menambah baik aliran tunainya dan membolehkan perbelanjaan modal perbelanjaan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata walaupun terdapat peningkatan sedikit PSC di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan PSC ASEAN lapangan terbang lain kepada RM50 (daripada RM35), namun ia tidak menjangkakan kesan ketara terhadap permintaan perjalanan udara bagi Capital A Bhad.

"Peningkatan yang agak tinggi untuk PSC ASEAN Terminal 1 kepada RM73 (daripada RM35) mungkin memberikan kelebihan daya saing yang lebih kukuh kepada Capital A.

"Sebaliknya, PSC destinasi melangkui ASEAN pada harga RM50 (daripada RM73) tidak akan mengubah daya saing AirAsia X Bhd (AAX), memandangkan syarikat penerbangan itu telah mengenakan bayaran RM50 untuk PSC selama ini," katanya.

HLIB yakin MAHB akan terus memanfaatkan jangkaan pemulihan permintaan perjalanan udara pada 2024 hingga 2025 dan memuktamadkan perjanjian operasi dan struktur asas aset dikawal selia dalam mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan lapangan terbang di Malaysia.

Sementara itu, RHB Research menurunkan unjuran pendapatannya untuk MAHB bagi Tahun Kewangan 2024-2026 sebanyak 1-8 peratus, berikutan semakan semula caj perkhidmatan penerbangan.

Pengenalan PSC dan caj pendaratan dan parkir pesawat yang lebih tinggi secara umumnya diimbangi oleh pengurangan PSC bagi kategori lain - terutamanya PSC Antarabangsa di lapangan terbang lain, katanya dalam satu nota penyelidikan.

Melalui mekanisme permodalan kerugian, MAHB akan berpeluang memulihkan 90 peratus daripada sebarang kerugian kawal selia yang ditanggung semasa fasa kerugian/pengumpulan keuntungan sehingga 10 tahun, bermula pada tahun pertama fasa pemulihan/bayaran balik kerugian.

"Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ini akan membolehkan MAHB meneruskan pelaburan yang diperlukan, menambah baik perkhidmatan dan usaha pembangunan lapangan terbang," katanya.

Risiko utama kepada MAHB termasuklah perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi daripada jangkaan, kuantiti penumpang dan ASC yang lebih rendah daripada jangkaan serta perubahan kawal selia.

-- BERNAMA