BISNES
MAHB optimis capai sasaran 62 juta pergerakan penumpang menjelang akhir 2025

MAHB telah menyiapkan 14 projek naik taraf kemudahan pada separuh pertama tahun ini di Terminal 1 KLIA. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) optimis untuk mencapai sasaran 62 juta pergerakan penumpang menjelang akhir tahun ini, satu pencapaian penting yang akan menandakan pemulihannya kepada tahap sebelum pandemik.
Ringkasan AI
- Sasaran 62 juta penumpang hampir tercapai: MAHB optimis mencapai 62 juta pergerakan penumpang menjelang akhir tahun ini, menyamai tahap pra-pandemik, dengan pencapaian 30.1 juta penumpang setakat separuh pertama 2025 dan peningkatan hampir 10% berbanding tahun sebelumnya.
- Transformasi perkhidmatan dan kemudahan KLIA: Sebanyak 14 projek naik taraf telah dilaksanakan di Terminal 1 KLIA, termasuk lorong pemeriksaan dan zon daftar masuk, meningkatkan kadar aliran penumpang sehingga 50% pada waktu puncak.
- Persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026: MAHB merangka pengalaman baharu seperti Projek Rimba, sebuah hutan buatan bertema di KLIA, sebagai sebahagian usaha memperkukuh daya tarikan pelancongan dan kesalinghubungan serantau menjelang Sukan Asia 2027.
Sejak mengambil alih jawatan itu pada Ogos tahun lepas, beliau berkata syarikat telah beralih kepada model yang lebih tangkas, responsif dan menumpukan kepada pelanggan daripada pendekatan birokrasi lama demi kepantasan dan kecemerlangan perkhidmatan.
"Saya mengingatkan pasukan bahawa kita tidak boleh lagi menguruskan lapangan terbang seperti kelaziman sebelum ini. Ini adalah perniagaan yang perlu berurusan dengan orang ramai. Penumpang mengharapkan tindak balas pantas selain untuk mengalami pengalaman yang lancar, jadi itulah yang kami tumpukan," katanya.
Beliau berkata transformasi MAHB berteraskan kepada tiga tonggak utama iaitu kecemerlangan perkhidmatan, pertumbuhan, dan peningkatan kapasiti berlandaskan strategi lapangan terbang yang baharu oleh MAHB.
Ekosistem KLIA menjadi pusat bagi pelan peletakan semula untuk membina hab yang terhubung dan cekap, katanya.
Kerjasama dan Momentum di sebalik Angka
MAHB telah menyiapkan 14 projek naik taraf kemudahan pada separuh pertama tahun ini di Terminal 1 KLIA, melibatkan penambahbaikan lorong pemeriksaan penumpang dan zon daftar masuk.
Usaha itu, yang melibatkan kos kira-kira RM30 juta, telah meningkatkan kapasiti pengendalian sebanyak 40 peratus.
"Inilah hasil yang mudah dicapai, dilaksanakan dengan sokongan rakan kami yang berpengalaman, termasuk Global Infrastructure Partners. Mereka membantu kami memperhalusi operasi seperti memendekkan tempoh pemeriksaan dan mengoptimumkan aliran penumpang," katanya.
Ketika ditanya mengenai perbelanjaan modal bagi separuh kedua 2025, Mohd Izani berkata pihaknya masih dalam proses untuk memuktamadkan angka tersebut.
Bagi daya saing serantau MAHB, beliau berkata pihaknya menumpukan kepada pengukuhan dalam segmen perjalanan serantau berbanding bersaing secara langsung dengan hab yang lebih besar seperti Changi atau Suvarnabhumi.
"Kami tidak perlu bersaing secara langsung. Kami menumpukan kepada kekuatan tersendiri. Banyak syarikat penerbangan serantau sudah beroperasi luar dari Malaysia dan kami boleh memanfaatkan keadaan ini. Kami menyediakan aliran penumpang dan pengalaman, justeru kesalinghubungan akan menyusul," katanya.
Beliau berkata kerjasama antara lapangan terbang dan syarikat penerbangan telah menunjukkan peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, satu petanda baik bagi pembangunan laluan jangka masa panjang.
Ketika ditanya sama ada MAHB menghadapi kekangan apabila melibatkan syarikat penerbangan asing berikutan komitmen terhadap syarikat penerbangan nasional, Mohd Izani berkata MAHB mengekalkan pendekatan dipacu prestasi.
"Kami sememangnya menyokong penerbangan nasional dengan sebaik mungkin. (Namun) pada masa sama, kami tidak menghalang kehadiran (syarikat penerbangan) lain. Semua perlu mencatat prestasi...ini adalah padang (persaingan) yang sama," katanya.
Mohd Izani berkata MAHB juga sedang meneliti kebolehlaksanaan bagi kelancaran urusan pergerakan penumpang antara Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Bukti konsep itu sedang dilaksanakan, termasuk meneliti perkhidmatan bas 'shuttle' dan pemindahan bagasi. Ia mampu dilakukan apabila semua ini dapat diuruskan dan syarikat penerbangan diselaraskan," katanya.
Beliau berkata inisiatif itu turut mendapat sokongan Kementerian Pengangkutan.
Mengulas gangguan terhadap perkhidmatan aerotrain di KLIA akibat hujan lebat, Mohd Izani berkata isu itu dapat diatasi dengan menggantikan pam yang bermasalah selain memperbaiki sistem perparitan.
"Kami juga telah mendapat jaminan daripada pasukan kejuruteraan yang masalah itu kini terkawal. Kerja-kerja yang dilakukan sudah dapat mengatasi masalah asas," katanya.
Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya
Bagi persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan temasya Sukan Asia 2027, MAHB kini dalam usaha merangka pengalaman baharu untuk penumpang.
Antaranya adalah Projek Rimba -- sebuah hutan buatan dengan ciri-ciri bertema, termasuk menambahbaik aspek pencahayaan, air terjun serta hiasan bunga.
"Kami mahu memberi kelainan dan keterujaan untuk penumpang. Ini adalah sebahagian daripada komitmen bagi penambahbaikan yang berterusan," katanya.
Kepentingan MAHB dipegang oleh Khazanah Nasional menerusi UEM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Global Infrastructure Partners bersama Abu Dhabi Investment Authority dengan saham utama di bawah Kementerian Kewangan.
Mohd Izani berkata usaha penyusunan semula itu telah membantu mempercepatkan proses membuat keputusan dengan lembaga pengarah yang menyokong merangkumi tujuh wakil pemegang saham dan empat ahli lantikan kerajaan.
"Perjalanan transformasi ini baru sahaja bermula. Kami sedang mengatur barisan pasukan yang tepat, menjalin kerjasama sesuai dan menetapkan kadar kemajuan sewajarnya untuk membawa Malaysia Airports ke tahap seterusnya," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami