KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 susut 16 peratus kepada RM50.88 juta daripada RM60.44 juta setahun sebelumnya.

Bagaimanapun, penggiat penjanaan tenaga dan pengurusan sisa itu mencatatkan perolehan hasil dan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi masing-masing pada RM1.88 bilion dan RM98.18 juta bagi suku terbabit.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Malakoff berkata ia merekodkan peningkatan hasil sebanyak 39 peratus daripada RM1.35 bilion pada tempoh sebelumnya susulan peningkatan pembayaran tenaga daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) yang mengendalikan loji janakuasa di Johor berikutan kenaikan harga arang batu terpakai.

Kumpulan itu turut merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih baik sebanyak RM98.18 juta berbanding RM96.68 juta pada suku pertama 2021, sebahagian besarnya berikutan sumbangan lebih tinggi daripada TBP, Alam Flora Sdn Bhd serta pelaburan asing dalam syarikat bersekutu dan usaha sama.

Namun, sebahagian daripada dijejaskan oleh penyusutan sumbangan daripada TBE yang terjejas akibat masalah kegagalan bilah turbin bertekanan rendah yang menyebabkan gangguan kepada kilang selain caj-caj susut nilai yang tinggi.

Menurut Malakoff, kumpulan itu secara keseluruhannya menjangkakan prestasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022, akan kekal positif.

-- BERNAMA