KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines dan Japan Airlines (JAL) meraikan ulang tahun pertama jalinan usaha sama perniagaan mereka, menguatkan lagi hubungan di antara kedua-dua syarikat penerbangan itu dengan menerbangkan 44 kontinjen Olimpik dan pegawai Malaysia ke temasya Olimpik Tokyo 2020 pada 17 Julai, menerusi penerbangan MH9118 yang dikendalikan oleh JAL.

Kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan memeterai kerjasama untuk memberikan pilihan penerbangan tambahan dan rangkaian yang lebih besar kepada pelanggan dengan fleksibiliti untuk memilih jadual penerbangan yang sesuai dengan keperluan perjalanan mereka selain mempertingkatkan program pengguna penerbangan kerap.

"Sepanjang tahun lepas, pelanggan boleh melakukan prosedur daftar masuk melalui dalam talian atau memeriksa status penerbangan di kedua-dua laman web syarikat penerbangan, sekali gus memberikan kemudahan hebat kepada pengalaman pengguna," kata Malaysia Airlines Bhd dalam satu kenyataan hari ini.

Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Aviation Group, syarikat induk Malaysia Airlines Bhd berkata syarikat penerbangan itu memulakan kerjasama dengan JAL pada Julai 2020 dalam situasi pandemik COVID-19 sebagai sebahagian daripada Pelan Perniagaan Jangka Panjang Malaysia Airlines.

"Meskipun berhadapan cabaran, strategi perniagaan bersama itu telah memberikan kelebihan kepada kedua-dua syarikat penerbangan, memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menyediakan saling hubung yang lebih baik dan memudahkan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

"Kami percaya kerjasama itu akan membantu membina semula lalu lintas, merancakkan pemulihan dan meneruskan frekuensi kembali ke tahap sebelum pandemik," kata Izham.

-- BERNAMA