SEOUL: Jumlah warga asing di Korea Selatan yang layak mengundi dalam pilihan raya tempatan pada 3 Jun ini meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu melebihi 150,000 orang, menurut data kerajaan pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Warganegara asing yang layak mengundi dalam pilihan raya seluruh negara akan datang itu berjumlah 151,532 orang, meningkat 18.7 peratus, atau 23,909 orang, berbanding pilihan raya tempatan sebelum ini pada 2022, menurut data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri.
Di bawah Akta Pilihan Raya Pegawai Awam, warga asing berumur 18 tahun dan ke atas yang telah memegang visa pemastautin tetap F-5 sekurang-kurangnya tiga tahun, layak mengundi dalam pilihan raya tempatan bagi memilih ketua kerajaan tempatan dan ahli majlis tempatan. Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Presiden dan Parlimen.
Pengundi warga asing kali pertama mendapat hak mengundi dalam pilihan raya tempatan pada 2006. Pada masa itu, hanya terdapat 6,726 pengundi warga asing yang layak, namun jumlah itu meningkat dengan pesat kepada 12,878 pada 2010 dan 48,428 pada 2014.
Pada 2018, jumlah berkenaan melebihi 100,000 buat kali pertama, mencecah 106,205 orang. Tahun ini, iaitu 20 tahun selepas pengenalan hak mengundi warga asing, angka itu mencatatkan kira-kira 22.5 kali ganda berbanding paras pada 2006.
Peratusan pengundi warga asing daripada keseluruhan pemilih juga meningkat secara berterusan, daripada 0.02 peratus pada 2006 kepada 0.03 peratus pada 2010, 0.12 peratus pada 2014, 0.25 peratus pada 2018 dan 0.29 peratus pada 2022. Tahun ini, ia mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 0.34 peratus.
Meskipun berlaku peningkatan mendadak dalam bilangan pengundi warga asing, peratusan keluar mengundi dalam kalangan mereka menunjukkan penurunan atau kekal tidak banyak berubah. Data kerajaan menunjukkan peratusan keluar mengundi bagi warga asing merosot daripada 35.2 peratus pada 2010 kepada 17.6 peratus pada 2014, 13.5 peratus pada 2018 dan 13.3 peratus pada 2022.
-- BERNAMA-YONHAP